GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menghalang mana-mana pihak untuk menganjurkan solat Hari Raya Aidilfitri di kawasan lapang atau terbuka di negeri ini dengan syarat penganjur mesti memastikan keselamatan dan keselesaan para jemaah.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) juga tidak ada masalah untuk meluluskan permohonan daripada mana-mana pihak sekiranya mereka mahu menganjurkan solat tersebut di dalam dewan.
”Kita ada masjid-masjid yang selesa untuk tunaikan solat hari raya, kalau ada pihak nak anjurkan (solat di tempat lapang) mereka perlu pastikan keselamatan dan keselesaan jemaah.
”Kita tidak ada masalah dan kita tidak menghalang,” katanya selepas menghadiri program sumbangan Hari Raya Aidilfitri SMS Deen Jewellers, di sini hari ini.
Terdahulu, Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggalakkan supaya solat sunat Aidilfitri dilaksanakan di tanah lapang kira-kira pukul 8 pagi seperti tahun lalu.
Titah baginda, pemilihan tanah lapang itu adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh negeri ini selaras dengan sunah baginda Rasulullah SAW.
Bagaimanapun, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, kemudahan sedia ada di masjid dan surau-surau di negeri ini adalah lebih baik digunakan untuk menunaikan solat hari raya.
”Lebih baik kalau dianjurkan di tempat-tempat biasa kita gunakan, yang tidak perlu buat lebih persediaan,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk umat Islam di negeri ini melaksanakan solat sunat Istisqa susulan cuaca panas yang dijangka berpanjangan sehingga Ogos, Ahmad Zakiyuddin berkata, belum terdapat keperluan untuk solat tersebut dilaksanakan buat masa ini.
”Kita belum bincang lagi perkara ini, solat sunat ini kita akan laksanakan ketika musim kemarau panjang, pada masa ini masih diperingkat awal (musim panas),” katanya. – UTUSAN