PROMAK atasi kelaparan tersembunyi kalangan murid - Utusan Malaysia

PROMAK atasi kelaparan tersembunyi kalangan murid

PROMAK adalah tambahan kepada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi membantu menangani isu malnutrisi dalam kalangan murid sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELAPARAN tersembunyi (hidden hunger) adalah isu kekurangan makanan berkhasiat atau malnutrisi di mana makanan yang dimakan kurang zat penting seperti vitamin dan mineral asas, hingga menjejaskan perkembangan fizikal dan mental mereka yang terbabit.

Statistik kes kebantutan, susut berat badan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak sekolah pada hari ini menjadi petunjuk jelas yang mengesahkan wujudnya musuh ‘senyap’ ini yang tidak harus diambil mudah.

Satu kajian yang dijalankan oleh Bank Dunia pada pertengahan tahun 2021 di Malaysia, iaitu Survei Frekuensi Tinggi Covid-19 untuk Pemantauan Isi Rumah (Covid-19 High Frequency (HiFy) Household Monitoring Survey) mendapati, satu daripada empat isi rumah berpendapatan rendah di negara ini mengalami kekurangan makanan dari pertengahan April hingga pertengahan Jun 2021.

Keadaan ini paling ketara dalam kalangan kumpulan penduduk berpendapatan rendah. Impak inflasi dan kenaikan kos sara hidup yang kian meningkat menghimpit kuasa beli mereka dan keupayaan untuk berbelanja menjadi terhad.

Perbelanjaan harian terpaksa dicatu dan ini dikenalpasti sebagai salah satu punca yang mendorong kepada amalan pemakanan yang tidak seimbang dan kurang sihat.
Dalam keadaan ini, mereka hanya makan untuk kenyang dan meneruskan kehidupan, bukan makan untuk mendapat nutrisi seimbang seperti yang disarankan.

PROMAK SASAR MURID LUAR BANDAR

Peduli dengan permasalahan ini dan impaknya ke atas kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak, Program Makanan Kesihatan (PROMAK) telah dilancarkan oleh Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bermula Januari 2022.

PROMAK merupakan inisiatif bantuan sosial dalam bentuk tawaran makan tengahari percuma yang seimbang kepada para pelajar di sekolah-sekolah luar bandar yang terpilih setakat ini. Sasaran bantuan PROMAK pada masa ini tertumpu kepada pelajar sekolah rendah yang kurang berkemampuan di luar bandar.

Ini selaras dengan laporan hasil kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berhubung isu malnutrisi di Malaysia yang mendapati isi rumah luar bandar di negara ini merekodkan kadar kurang berat badan dan kebantutan yang tertinggi berbanding isi rumah di kawasan bandar.

Kajian tersebut turut mendapati 34 peratus dari kanak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah di Kelantan mencatatkan kadar kebantutan tertinggi pada tahun 2016.

Manakala Terengganu merupakan negeri kedua tertinggi dengan peratus kebantutan sebanyak 26.1%, diikuti negeri Pahang, 25.7 peratus.

Bantuan PROMAK mula dilancarkan di beberapa sekolah rendah di daerah Kuala Krai, Kelantan dan seterusnya diperluaskan ke negeri Terengganu, Kedah, Perlis dan akan datang di Pahang.

Hampir 20,000 murid sekolah rendah di lebih 93 buah sekolah kini menikmati hidangan makan tengahari percuma yang seimbang setiap hari di sekolah.

Program ini dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

PROMAK adalah tambahan kepada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada, yang berhasrat membantu menangani isu malnutrisi atau ‘hidden hunger’ yang mengancam tumbesaran kanak-kanak.

Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, pasukan pengelola PROMAK turut melibatkan perwakilan daripada Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah, Pakar Pemakanan dan guru Penyelaras Program di setiap sekolah yang terlibat.

Pemakanan yang disediakan oleh PROMAK mencakupi piramid makanan yang betul, dari segi khasiat. Menu yang dihidangkan kepada para pelajar adalah berdasarkan piawaian KKM dan akan dipantau oleh Pakar Pemakanan bertauliah yang dilantik bagi memastikan keseimbangan dari segi nutrisi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya