Projek rintis kurang kesesakan hospital berhasil, kedatangan pesakit turun 54 peratus

Projek rintis kurangkan kesesakan hospital berhasil, kedatangan pesakit turun 54 peratus

PESAKIT yang tidak mengalami sakit kritikal untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan projek rintis bagi mengurangkan kesesakan pesakit yang dimulakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menunjukkan kesan positif apabila kadar kedatangan pesakit menurun sebanyak 54 peratus setakat 9 April lalu.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah itu dilaksanakan dengan memindahkan operasi zon hijau (bukan kecemasan) Jabatan Kecemasan HTAR ke Klinik Kesihatan Bandar Botanik (KKBB) di daerah Klang di luar waktu operasi bermula 25 Mac lalu.

Melalui pemindahan pesakit itu, kata beliau, KKBB melanjutkan waktu operasi sehingga 9.30 malam setiap hari.

“Penurunan ini berlaku lebih ketara pada hari Sabtu dan Ahad dan selari dengan peningkatan kedatangan pesakit ke KKBB selepas intervensi pelanjutan tempoh operasi ini dilaksanakan.

“Untuk itu, KKM memutuskan memperluas skop projek rintis intervensi pemanjangan tempoh operasi ke klinik-klinik kesihatan lain dengan lima klinik kesihatan dipilih melibatkan daerah Gombak, Hulu Langat, Ipoh, Johor Bharu dan Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliha berkata, status terkini pelaksanaan projek rintis bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia Madani (MTMM) Bilangan 1/2023 yang dipengerusikan Perdana Menteri, semalam.

Projek inisiatif Bitara Madani yang dipacu Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) itu adalah bagi menyelesaikan segera masalah dan kesulitan dihadapi rakyat.

Menurut beliau, di samping pelanjutan waktu operasi di klinik kesihatan, tujuh lagi tindakan penyelesaian jangka pendek dan sederhana bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan sedang dilaksanakan.

Antaranya ialah pelaksanaan rintis Skim Perubatan Madani dengan semakan semula akta, pekeliling dan garis panduan berkaitan.

Selain itu ialah pelaksanaan pengurusan LEAN, perluasan perkhidmatan penjagaan kesihatan virtual dan strategi komunikasi melalui behavioral insight sedang berjalan dengan kerjasama kementerian dan agensi berkenaan.

“KKM amat menggalakkan pesakit yang tidak mengalami sakit kritikal untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

“Pendekatan ini dapat membantu doktor dan anggota kesihatan dalam memberikan rawatan segera kepada pesakit kritikal di jabatan kecemasan hospital kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya