PRN: Wanita UMNO tiada masalah kerjasama dengan Wanita PH - Utusan Malaysia

PRN: Wanita UMNO tiada masalah kerjasama dengan Wanita PH

NORLIZA Abdul Rahim menyerahkan sumbangan kepada lebih 60 anak-anak yatim dan asnaf Parlimen Bukit Gelugor untuk berbelanja kelengkapan sambutan Hari Raya Aidilfitri di sebuah pusat beli-belah di Bayan Baru, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Jentera Pergerakan Wanita UMNO tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan jentera Wanita Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya juga telah dihubungi oleh pimpinan Wanita PKR untuk mengadakan rundingan dan mereka akan bergerak serta berjumpa ahli akar umbi bersama-sama sebagai persiapan menghadapi PRN.

”Kita tidak ada masalah (bekerjasama dengan Wanita PH), kita juga akan pastikan ia tak menjadi masalah, apa yang penting kita buka minda dan beri pendedahan kepada ahli mengenai kerjasama ini, saya pasti mereka boleh terima.

”Kita perlu membela rakyat dari semua kategori, kalau dia (ahli Wanita UMNO) faham perkara ini, ia akan jadikan gerak kerja kita lebih lancar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Seindah Syawal di sebuah pusat beli-belah, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Bukit Gelugor menyampaikan sumbangan RM200 setiap seorang kepada lebih 60 anak-anak yatim dan asnaf dari Parlimen Bukit Gelugor untuk berbelanja kelengkapan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Dalam pada itu, Norliza tidak menafikan pada mulanya ada perasaan kekok untuk ahli-ahli UMNO menjalinkan kerjasama dengan PH.

Bagaimanapun, jelas beliau, situasi kini sudah berubah yang mana mereka kini sudah mampu mengadaptasi gabungan baharu yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

”Wanita UMNO akan belajar dan didik ahli-ahli kita untuk bekerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan.

”Di luar negara gabungan parti sebegini memang berlaku, jika kita mahu parti yang dominan seperti dahulu ia agak sukar, rakyat juga telah matang dan boleh menerima kaedah gabungan politik yang baharu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Norliza berkata, pihaknya juga berharap calon-calon wanita diberikan lebih peluang untuk bertanding di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang selamat pada PRN nanti.

”Dari dahulu kita perjuangkan 30 peratus kerusi untuk Wanita dan kalau boleh kita nak kerusi (DUN) yang kita dapat ini biarlah kerusi yang boleh dimenangi, kita tidak mahu bila calon Wanita sahaja diberi kerusi hitam.

”Wanita ini dari segi gerak kerja memang kita menjadi nadi, seharusnya Wanita diberi tempat yang sesuai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya