PRN: Shahidan bertanding di Semenyih ? - Utusan Malaysia

PRN: Shahidan bertanding di Semenyih ?

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Datuk Seri Shahidan Kassim yang disebut-sebut antara calon yang bakal diketengahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor dikatakan bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Aura Ahli Parlimen Arau itu yang membantu Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih 17 daripada 18 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Perlis dilihat mampu menambahkan lagi kekuatan gabungan itu dalam misi menawan Selangor.

Shahidan juga dilihat sudah kerap kali turun di Semenyih sebelum ini sekali gus menguatkan lagi desas-desus bekas Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu bertanding di kawasan majoriti Melayu tersebut.

Dalam PRU14, DUN Semenyih dimenangi oleh Bakhtiar Mohd. Noor dari Pakatan Harapan (PH) sebelum diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) berikutan kematian beliau pada Januari 2019 akibat serangan jantung.

Dalam PRK tersebut, Barisan Nasional (BN) merampas kembali DUN Semenyih apabila calonnya, Zakaria Hanafi menang selepas meraih 19,780 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya dalam pilihan raya tersebut.

Sementara itu, Shahidan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bertanding di Selangor sekiranya kepemimpinan PN memberi kepercayaan kepada beliau.

“Insya-Allah kalau memerlukan saya bertanding saya akan bertanding tetapi yang lebih penting PN mesti menguasai semua negeri yang bakal diadakan PRN itu.

“Sekiranya sumbangan saya boleh membantu, saya sedia bertanding.

“Saya bersedia bertanding di mana-mana tapi bukan dengan niat untuk jawatan tetapi untuk memastikan PH tumbang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Komposisi pengundi di DUN Semenyih menyaksikan lebih 60 peratus pengundi Melayu manakala pengundi Cina sekitar 16 peratus manakala India (13 peratus).

Dalam PRN yang dijadual tidak lama lagi, Selangor antara negeri yang menjadi sasaran PN sekali gus untuk menamatkan penguasaan PH sejak 2008.

Selain Selangor, PN juga menaruh harapan merampas Negeri Sembilan serta yakin mengekalkan Kedah, Kelantan dan Terengganu selain menambah kerusi di Pulau Pinang.

Dalam PRU15, PN berjaya menunjukkan pencapaian cukup cemerlang dengan menguasai lebih 70 kerusi Parlimen khususnya di kawasan-kawasan majoriti Melayu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya