PRN: Rundingan kerusi PH, BN Selangor selesai awal bulan depan - Utusan Malaysia

PRN: Rundingan kerusi PH, BN Selangor selesai awal bulan depan

BN PH Selangor
AMIRUDIN Shari bermesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Penyampaian Amanat dan Insentif Khas Aidilfitri #KitaSelangor kepada Penggerak Masjid dan Guru Rakyat Negeri Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan selesai selewat-lewatnya awal bulan depan.

Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbincangan lanjut masih dijalankan antara kedua-dua gabungan itu atas semangat Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau yang juga Menteri Besar Selangor, pihaknya menyasarkan untuk memuktamadkan sekurang-kurangnya 80 peratus pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

“Perbincangan masih berjalan dengan baik meliputi pelbagai perkara dan saya jangka ia selesai hujung bulan ini atau awal Mei nanti.

“Keputusan itu kelak akan dibentangkan kepada pimpinan pusat untuk dimuktamadkan sepenuhnya sebelum tarikh penamaan calon PRN,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan insentif khas Aidilfitri kepada penggerak masjid dan guru rakyat di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Insentif berjumlah RM2.3 juta itu disalurkan kepada lebih 4,700 penerima dan melibatkan 432 masjid di negeri ini.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan, pihaknya menyambut baik cadangan UMNO mahu mewujudkan jawatankuasa Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.

“Kerjasama itu sememangnya sudah wujud dan langkah berkenaan juga akan bersesuaian dengan konvensyen khas pada 14 Mei depan. Jadi, ia bukan halangan dan kekangan malah kerajaan sedia ada kini perlu bergerak sebagai satu pasukan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, guru agama rakyat kali pertama disenaraikan menerima insentif RM500 berkenaan tahun ini.

“Pada 2019 dan 2020, penggerak masjid iaitu nazir, imam rawatib, bilal dan siak rawatib ditetapkan menerima RM400 setiap orang. Namun, bermula 2021 sehingga kini, insentif kepada golongan itu dinaikkan kepada RM500 bagi membantu meringankan beban persiapan Aidilfitri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya