PRN: PH, BN setuju kekalkan kerusi penyandang - Utusan Malaysia

PRN: PH, BN setuju kekalkan kerusi penyandang

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN BARU: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju parti yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kekal bertanding di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu merupakan antara beberapa parameter yang dipersetujui kedua-dua pihak untuk memandu proses agihan kerusi bagi PRN di enam negeri.

”Perbincangan pusingan pertama telah pun dibuat antara PH dan BN serta perbincangan itu telah bersetuju untuk melibatkan beberapa parameter antaranya kerusi penyandang dikekalkan.

“Kita menjangkakan pengagihan kerusi akan selesai semuanya sebelum penamaan calon PRN untuk enam negeri tersebut,” katanya selepas menghadiri majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani, di sini hari ini.

Pada PRU-15, enam negeri iaitu Kedah; Pulau Pinang; Selangor; Negeri Sembilan; Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing sekali gus perlu diadakan PRN sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh kelak.

Menurut Saifuddin, rundingan berkaitan isu-isu PRN antara kepimpinan negeri PH dan BN juga sedang berlangsung pada masa ini.

”Rundingan di peringkat negeri iaitu di Kedah dan Selangor sedang berjalan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan perbincangan ini telah dijadualkan, namun belum berlaku.

”Bagi Terengganu saya ke sana dua hari lalu dan telah sampaikan taklimat tentang tatacara lakukan rundingan ini, Kelantan dalam sehari dua lagi saya akan ke sana,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya terdapat sebarang isu seperti permintaan mana-mana pihak untuk menambah kerusi yang akan ditandingi, ia perlu diselesaikan di peringkat negeri.

”Sekiranya tidak dapat diselesaikan di peringkat negeri, kita akan selesaikan di peringkat pimpinan Pusat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya