PRN: PH-BN Pulau Pinang belum adakan rundingan rasmi - Utusan Malaysia

PRN: PH-BN Pulau Pinang belum adakan rundingan rasmi

CHOW Kon Yeow (kiri) memerhatikan P. Ramasamy (tengah) yang mencuba rawatan kiropraktik di Taman Chai Leng, Perai, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERAI: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang belum mengadakan rundingan rasmi bersama Barisan Nasional (BN) berhubung kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) itu akan datang termasuk berhubung pengagihan kerusi.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya kini sedang memuktamadkan kedudukan parti itu sebelum melangsungkan perbincangan dengan BN.

“Kita diberi satu bulan untuk berbincang dan sekarang sudah masuk minggu kedua.

“Perbincangan (tidak rasmi) memang berlaku tetapi niat kita adalah untuk memuktamadkan kedudukan kita sebelum bawa keputusan ini untuk berbincang dengan BN.

“Dalam pilihan raya, kadangkala keputusan cuma boleh dibuat pada tempoh terakhir iaitu selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sebelum pengumuman tarikh penamaan calon,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah di Taman Chai Leng, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail yang menyatakan PH dan BN sebulat suara untuk mengekalkan penyandang parti bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bertanding pada PRN akan datang, Kon Yeow berkata, itu adalah prinsip PH.

“Memang dalam PH sudah ada formula iaitu kerusi kekal dengan penyandang melainkan ada yang nak tukar, itu tertakluk kepada parti-parti berkenaan.

“Prinsip ni masih dipegang dan apabila masuknya rundingan dengan BN yang menjadi rakan dalam kerajaan peroaduan, maka prinsip ni adalah dengan BN, bukan dengan parti masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata, PH Pulau Pinang sepatutnya mengadakan mesyuarat pada minggu lepas, namun terpaksa ditunda susulan terdapat agenda yang mendesak.

“Kita menerima pembentangan kajian untuk melihat sentimen pengundi terhadap kerajaan negeri dan PH.

“Justeru, kita fokuskan kepada agenda itu terlebih dahulu sebelum menetapkan tarikh mesyuarat terbaharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya