BUKIT MERTAJAM: Tahap kesiapsiagaan jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi membantu kempen kerajaan perpaduan dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi kini sudah mencapai 60 peratus.
Ketuanya, Adam Adli Abd. Halim berkata, peratusan itu dibuat berdasarkan penilaian dan pemerhatian pihaknya setakat ini.
“Bagaimanapun, ia tidak lama untuk disiapkan (jentera pilihan raya). Sebaik sahaja kita sudah ada calon dan ada ketetapan di peringkat kepimpinan, maka kita boleh penuhi baki 40 peratus itu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Perdana & Perasmian Pejabat serta Pelancaran Jentera AMK Pulau Pinang di Bandar Perda, malam tadi.
Yang hadir sama Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Fadzli Roslan.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, setakat ini, pihaknya belum membincangkan berapa ramai calon dari sayap PKR itu yang akan diketengahkan pada PRN di enam negeri yang dijangka berlangsung beberapa bulan lagi.
“Dalam hal ini, saya melihat penting untuk kita ketengahkan calon-calon AMK termasuk dari Pulau Pinang untuk bertanding pada PRN akan datang. Bagaimanapun, kita masih tertakluk kepada keputusan parti dan akur terhadap sebarang keputusan yang akan dibuat nanti.
“Di pihak AMK sendiri memang kita ada letak sasaran iaitu sehingga 30 peratus (calon untuk bertanding pada PRN). Apapun, soalnya sekarang, bukan berapa ramai calon, tapi adakah calon yang kita tampilkan itu boleh menang dan menyumbang kerusi.
“Sebagai contoh, ketika PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) lalu, kita (AMK) ada enam calon dan empat daripadanya menang. Itu ‘benchmark’ (penanda aras),” katanya.
Menyentuh mengenai kerjasama dengan sayap parti lain di bawah kerajaan perpaduan seperti Pemuda UMNO, Adam Adli berkata, perkara itu memang perlu dilakukan dan ia sedang dibincangkan.
“Malah, di peringkat Pemuda Pakatan Harapan (PH) sekalipun kita memang ada ‘engagement’ (keterlibatan). Begitu juga dengan UMNO, MIC dan MCA.
“‘Engagement’ ini bukan sekadar untuk mendepani pilihan raya, tapi untuk pentadbiran negara itu sendiri. Kita memang tak ada masalah untuk bekerjasama kerana kita komited dalam usaha untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan ketika ini,” ujar. – UTUSAN