PRN: KJ mampu cipta kejutan, Shahidan tempuh laluan sukar - Utusan Malaysia

PRN: KJ mampu cipta kejutan, Shahidan tempuh laluan sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Khairy Jamaluddin diramal berdepan si­tuasi berbeza sekiranya bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau dijangka menempuh laluan sukar manakala Khairy pula dilihat mampu mencipta kejutan pada PRN itu tidak lama lagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, kedua-dua calon itu dari segi personaliti sememangnya tidak boleh dipersoalkan.

Katanya, ini kerana mereka mempunyai aura, ketokohan dan kewibawaan masing-ma­sing, cuma penerimaan pe­ngundi tempatan terutama kepada Shahidan perlu diteliti dan diperhalusi sepenuhnya.

“Selangor dan Perlis berbeza dari sudut demografi dan geografi. Kalau lihat apa berlaku di Perlis pada pilihan raya lepas adalah disebabkan pengura­ngan saat akhir dan gelombang hijau yang turut membantu kebangkitan Shahidan di sana.

“Tetapi senarionya berbeza di Selangor kerana kita tahu di mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekalipun, pengundi lebih kerap mahukan calon bersifat tempatan, yang sudah berada di situ serta memahami lokaliti dan isu-isu setempat dan bukannya calon payung terjun.

“Berbanding Khairy, beliau sudah bertanding di Parlimen Sungai Buloh dan mengurangkan majoriti. Jika ambil keputusan bertanding di salah satu DUN di situ, bermakna pe­ngundi sudah kenal beliau,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam akhbar ini melaporkan, aura Shahidan yang membantu PN menyapu bersih 17 daripada 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Perlis di­lihat mampu menambahkan lagi kekuatan gabungan itu dalam misi menawan Selangor.

Ahli Parlimen Arau itu dikatakan bakal bertanding di DUN Semenyih apabila beliau didakwa aktif turun padang di kawasan majoriti Melayu tersebut.

Khairy dikatakan akan ber­tanding di salah satu kerusi DUN di bawah Parlimen Sungai Buloh jika beliau menerima tawaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai parti itu.

Terdapat tiga DUN di bawah kerusi Parlimen tersebut iaitu Bukit Lanjan, Kota Damansara dan Paya Jaras.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, Khairy pula sememang­nya seorang calon yang mempunyai karisma dan kemampuan untuk menarik sokongan.

“Keupayaan mengurangkan daripada berpuluh ribu majo­riti kepada beberapa ribu dalam satu tempoh masa pendek buat keputusan tukar kawasan, jadi itu sudah boleh jadi indikator kepada keupayaan beliau dan tahap untuk menang.

“Khairy mempunyai aura dan saya rasa beliau boleh memberikan saingan lebih besar berbanding PRU15 lepas, jika bertanding di situ, ia cuma susulan gerak kerja daripada pilihan raya sebelum ini.

“Jika buat keputusan untuk bertanding atas tiket PN, maka ia akan memberi satu nilai tambah kerana beliau ketika ini tidak ada parti dan kalau bertanding untuk Bersatu di salah satu DUN bawah Parlimen Sungai Buloh, beliau mampu buat kejutan yang lebih besar,” jelasnya.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berpendapat, PN tidak akan rugi apa-apa sekiranya mereka berjaya memujuk ke­dua-dua bekas pemimpin UMNO itu untuk mencuba nasib tampil di DUN di Selangor.

Katanya, ini kerana mereka merupakan calon yang mudah dijual berikutan sudah ada nama khususnya untuk Khairy yang mempunyai kredibiliti dan imej positif.

“Saya fikir ini satu percubaan mereka untuk menggunakan tokoh nama besar dalam arena politik negara bagi memastikan mereka mendapat jumlah kerusi.

“Tetapi, itu cabaran bagi Shahidan untuk membawa aura beliau dari Perlis ke Selangor dalam menawan hati para pe­ngundi di situ kerana beliau selama ini berjuang sebagai tokoh di Perlis.

“Berbanding Khairy, saya percaya beliau lebih banyak kelebihan dan dapat diterima di kawasan terbabit. Dengan imejnya, beliau boleh pastikan sokongan itu bukan sahaja dalam kalangan Melayu, tetapi bukan Melayu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN