PRN: Enam negeri sama penting, Kedah diberi perhatian lebih

PRN: Enam negeri sama penting, Kedah diberi perhatian lebih

MAHDZIR Khalid (kiri) bersalaman dengan seorang pimpinan PKR yang menghadiri Sidang Meja Bulat Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah di Sungai Petani. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan memberi tumpuan khusus kepada Kedah untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang melibatkan enam negeri yang dijangka diadakan selepas Jun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kesemua enam negeri terlibat adalah sama penting dalam pilihan raya itu, tetapi mengakui Kedah akan diberi perhatian tambahan.

“Saya ingat semua negeri (BN dan PH) fokus, cuma keutamaan mungkin lebih sikit kepada Kedah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Meja Bulat Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi PH negeri, Datuk Mahfuz Omar dan pemimpin parti komponen PH dan BN lain di negeri itu.

Mahdzir yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah ditanya sama ada negeri berkenaan akan diberi perhatian khusus oleh gabungan BN-PH pada PRN tersebut.

Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa beliau akan menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Alor Setar pada 29 April ini sebagai lokasi pertama selepas tidak menganjurkan majlis itu di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Anwar juga dijangka menghadiri rumah terbuka raya di lima negeri lain iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kesemua enam negeri dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada Jun untuk memberi laluan kepada PRN.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, kedua-dua gabungan BN dan PH juga akan memberi tumpuan kepada undi merentas parti pada PRN itu dalam misi merampas semula Kedah daripada Perikatan Nasional (PN).

“Sebab itu kami menganjurkan sesi meja bulat ini. Ini adalah sesi ice-breaking untuk pemimpin komponen BN dan PN di setiap kawasan Parlimen masing-masing sebelum kita turun ke peringkat akar umbi.

“Ini adalah perbincangan awal ke arah kerjasama yang lebih kukuh. Sebaik sahaja kita memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi untuk Kedah, kita akan bergerak ke arah pembahagian tugas dalam kalangan komponen BN dan PH.

“Perkara yang paling penting kita mahu capai adalah mengelak bertembung antara satu sama lain dalam PRN ini,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz berkata, PH dan BN akan menubuhkan majlis pimpinan perpaduan di setiap kawasan Parlimen tidak lama lagi.

Tambahnya, rundingan pembahagian kerusi untuk Kedah pula dijangka selesai sebelum akhir Mei ini memandangkan Konvensyen Perpaduan antara kedua-dua gabungan itu dijadualkan diadakan pada 20 Mei. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya