SHAH ALAM: Bayaran premium tanah di Selangor merupakan penyumbang tertinggi hasil negeri yang dianggarkan bernilai RM1 bilion setiap tahun atau 45 peratus daripada perolehan keseluruhan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hasil cukai tanah pula menjadi penyumbang kedua terbesar kepada negeri iaitu anggaran kasar RM550 juta atau bersamaan 25 peratus dalam tempoh sama.
“Justeru kerajaan negeri membina Pusat Sehenti (OSC) Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) di tingkat pertama Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor bagi memudahkan orang ramai melakukan urusan berkaitan tanah di sini.
“Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM10.763 juta bagi membina OCS ini,” ucapnya semasa majlis perasmian OSC PTGS dan Hari Tanpa Tunai bagi Pentadbiran Tanah Negeri Selangor di Bangunan SUK Selangor, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, pusat setempat itu menawarkan perkhidmatan bagi urusan seperti penghantaran dokumen penyerahan tanah dan strata, pungutan penyerahan, pembelian carian rasmi dan persendirian, permohonan hak milik hilang atau rosak dan pembayaran cukai tanah dan fi.
Menurutnya Amirudin, kaunter di OSC ini dilengkapi dengan sistem aplikasi nombor giliran iaitu Queue Management System (QMS) yang canggih dengan pengambilan nombor giliran dibuat secara dalam talian.
“Fasiliti dan kemudahan yang terdapat di OSC ini adalah merupakan persediaan awal ke arah pelaksanaan sistem e-Tanah Selangor yang dijangka dilancarkan pada bulan September ini.
“Kerajaan negeri mahu menjadikan Selangor sebagai negeri pintar yang mana, kebanyakan urusan berkaitan pentadbiran negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat dilakukan secara atas talian,” ujarnya.
Dalam hal berbeza, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri sedang mengatur strategi bagi mendapatkan tunggakan cukai yang tidak bayar oleh sesetengah pihak ketika ini.
Menurutnya, jumlah wang yang dapat dikutip daripada tunggakan ini dapat digunakan untuk memperkenalkan lebih banyak dan inisiatif kepada rakyat Selangor. – UTUSAN