KLANG: Kegiatan dua premis menyimpan dan menjual beg tiruan berjenama mencecah RM1 juta di sebuah pasar raya di daerah ini terbongkar apabila digempur pihak berkuasa, hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 1 petang itu dijalankan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan membawa kepada rampasan sebanyak 10,000 beg.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, operasi itu dilakukan hasil risikan pihaknya selama dua minggu dengan kerjasama wakil cap dagangan berdaftar mengenai aktiviti mencurigakan tersebut.
Katanya, dua premis yang dipercayai beroperasi sejak tiga tahun lalu itu melibatkan stor simpanan dan premis jualan beg tangan eksklusif.
“Pemeriksaan lanjut mendapati 12 jenama itu disyaki tiruan dan melanggari peruntukan Akta Cap Dagangan 2019. Tiga wanita dan seorang lelaki berusia 18 hingga 38 tahun yang berada di premis itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Zuhairi, serbuan itu melibatkan nilai rampasan terbesar pihaknya tahun ini.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu barang cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah. Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemilik bangunan turut bertanggungjawab memastikan premis yang disewakan tidak terlibat dengan aktiviti berkenaan. – UTUSAN