TANJUNG MALIM: Tiga lokasi panas yang sering berlaku kemalangan di daerah ini menjadi tumpuan polis dalam tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, tiga lokasi yang akan diberi perhatian ialah di Jalan Kampung Kelawar, persimpangan Trolak Pekan dan Felda Sungai Behrang.
“Pemantauan berkala akan dilakukan bahagian trafik di simpang pusingan U di Kampung Kelawar. Tindakan saman juga akan diambil terhadap pengguna jalan raya yang didapati membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan.
“Perhatian diberikan di persimpangan Trolak Pekan dan Felda Sungai Behrang ekoran laluan di kawasan tersebut tidak mempunyai kaki lima jalan, jadi ia agak berbahaya bagi kenderaan ketika berselisih,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Perdana PDRM Muallim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di Slim River di sini semalam.
Menurut Mohd. Hasni, pihaknya juga melaksanakan Op Lancar di Jalan Persekutuan bermula dari Tanjung Malim hingga ke Trolak dengan tumpuan utama adalah di Plaza Tol Behrang dan Plaza Tol Slim River.
Katanya, seorang pegawai dan lapan anggota ditugaskan bagi penugasan tersebut untuk memastikan kelancaran aliran trafik.
“Kita jangka lebuh raya akan sesak dan pengguna jalan raya akan keluar melalui susur keluar Plaza Tol Behrang dan Slim River.
“Jadi, kita akan tugaskan anggota di simpang-simpang jalan terutama di plaza tol lama di Slim River yang dijangka sesak di mana dari dua lorong bertukar kepada satu lorong,” katanya. – UTUSAN