Polis terima tujuh laporan penipuan agensi umrah sejak tahun lalu - Utusan Malaysia

Polis terima tujuh laporan penipuan agensi umrah sejak tahun lalu

 ROHAIMI MD. ISA 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menerima tujuh laporan berhubung dakwaan penipuan agensi umrah di negeri ini sejak tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, kes penipuan yang dilaporkan itu melibatkan kerugian bernilai lebih RM330,000 sambil menjangkakan lebih banyak laporan dibuat dalam masa terdekat.

Menurut beliau, masih ramai mangsa dipercayai belum tampil membuat laporan kerana percaya dan dijanjikan duit bayaran pakej mengerjakan umrah itu akan dikembalikan semula.

“Polis Terengganu ada menerima laporan oleh mangsa berkaitan penipuan pakej mengerjakan umrah yang dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada bulan Ramadan ini.

“Dimaklumkan ada rakan-rakan dan ahli keluarga mangsa yang turut ditipu agensi atau syarikat yang sama namun mereka belum melaporkan kes tersebut kepada pihak berkuasa.

“Sepanjang 2022 terdapat dua laporan dengan kerugian RM120,000 dan polis juga menerima  lima laporan dengan nilai kerugian lebih RM214,000 pada tahun ini sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu.

Dalam pada itu, Rohaimi menambah, polis juga menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan pakej menarik yang ditawarkan agensi atau syarikat menunaikan ibadah umrah.

Katanya, masyarakat boleh memeriksa latar belakang serta status syarikat terbabit terlebih dahulu sebelum memberi sebarang butir peribadi atau membuat pembayaran.

“Umat Islam digalakkan memilih agensi yang dikenali dan bertauliah kerana perjalanan umrah bukan sahaja melibatkan wang ringgit bahkan juga emosi.

“Apabila berlaku penipuan, mangsa akan tertekan terutama selepas dijanjikan tarikh penerbangan yang kemudian ditunda beberapa kali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya