Polis siasat video anggotanya peras ugut pelancong China

Polis siasat video anggotanya peras ugut pelancong China

YAHAYA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu siasatan sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan seorang anggotanya memeras wang seorang wanita dipercayai pelancong China seperti dalam satu rakaman video yang tular sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya telah mengesan kewujudan video berdurasi seminit 48 saat di akaun TikTok @cs_kuan, kira-kira pukul 11 malam tadi selepas tular di laman sosial.

Kata beliau, menerusi video berkenaan memaparkan seorang anggota polis memakai uniform sedang menjalankan pemeriksaan ke atas seorang individu dengan berlatarbelakangkan papan tanda Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato’ On, Kuala Lumpur.

“Siasatan awal dijalankan mendapati individu di dalam video tular itu mendakwa diperas ugut oleh anggota polis terbabit kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yahaya berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Anggota polis dan individu yang sudah dikenal pasti terbabit (dalam video) akan dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi siasatan yang dijalankan.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” jelasnya.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber yang sahih dan tepat daripada pihak polis.

“Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu, boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Terdahulu, rakaman video itu didapati dimuat naik di akaun TikTok sebelum tular di media sosial lain memaparkan seorang wanita sedang mengulas isu berkenaan dalam bahasa Cina bersama sedikit sedutan rakaman kejadian.

Menerusi kapsyen yang disertakan bersama video itu, anggota polis terbabit didakwa memeras RM200 ke atas seorang pelancong wanita dari China kerana tidak membawa pasportnya yang kononnya ditinggalkan di hotel.

Rakaman video kejadian itu juga dikatakan sudah tular di negara asal pelancong wanita terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN