Polis Perak terima 408 permohonan permit jual mercun, bunga api - Utusan Malaysia

Polis Perak terima 408 permohonan permit jual mercun, bunga api

MOHD. Yusri Hassan Basri (tengah) melawat Bazar Ramadan Stadium pada Program High Profile Policing (HPP) di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak menerima sebanyak 408 permohonan permit bagi penjualan mercun dan bunga api sempena musim perayaan Aidilfitri sejak awal Ramadan lalu hingga semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, daripada jumlah itu, 174 permohonan diluluskan dengan 230 permohonan lagi dalam proses penilaian manakala empat permohonan pula ditolak.

Katanya, antara faktor permohonan itu ditolak kerana pemohon mempunyai rekod jenayah lampau dan lokasi tidak sesuai untuk jualan mercun dan bunga api.

“Setakat ini kita mendapat begitu banyak permohonan untuk permit penjualan bunga api dan mercun sempena perayaan Aidilfitri.

“Keseluruhan permohonan yang diterima sehingga semalam adalah sebanyak 408 permohonan dan kita telah pun meluluskan 174 permohonan,” katanya ketika ditemui pada Program High Profile Policing (HPP) Bazar Ramadan PDRM Perak 2023 di Bazar Ramadan Stadium di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Yusri memberitahu, polis menahan tiga lelaki kerana dipercayai memiliki pelbagai mercun dan bunga api tanpa permit dalam tangkapan berasingan di tiga daerah baru-baru ini.

Menurut beliau, tangkapan dibuat masing-masing di Ipoh, Taiping dan Kampar itu membawa kepada rampasan barang kes bernilai RM40,500.

“Tangkapan tersebut melibatkan peniaga di mana nilai rampasan mercun dan bunga api yang direkodkan di Ipoh sebanyak RM10,000 manakala RM25,000 pula di Taiping dan RM5,500 pula nilai rampasan di Kampar,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkenaan kes-kes jenayah yang berlaku di bazar Ramadan di seluruh negeri.

Katanya, pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) telah digerakkan secara serentak di semua lokasi bazar bagi memastikan keselamatan pengunjung dan peniaga.

“Semuanya dalam keadaan baik dan lancar. Tiada laporan berkaitan kes jenayah diterima di semua bazar Ramadan ” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya