JOHOR BAHRU: Polis menafikan dakwaan sebuah portal berita tempatan bahawa suspek kes perlakuan jelik di dalam kenderaan yang tular telah diperagakan untuk tatapan umum.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan penahanan reman mengikut prosedur biasa, semalam.
Katanya, polis juga tidak mengatur pergerakan itu kepada media untuk diambil rakaman.
“Laporan portal Free Malaysia Today yang bertajuk ‘Unethical to handcuff, parade 17 years old girl in viral video, says Muda’ bertarikh 7 April 2023 memuatkan kenyataan Ketua Biro Hak Asasi Manusia Muda, Dobby Chew.
“Adalah tidak benar bahawa dua suspek yang dibawa ke mahkamah untuk proses reman itu telah diperagakan sebagaimana didakwa dalam laporan itu. Kedua-dua suspek bersama suspek lain (kes berlainan) telah dibawa dengan kenderaan polis ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, sebelum dibawa berjalan melalui laluan lazim ke bangunan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Sohaimi, pihaknya tidak mengatur mana-mana pihak lain termasuk jurugambar untuk berada di lokasi bagi membuat rakaman atau liputan semasa suspek dibawa untuk proses reman.
“Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam juga sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran semasa proses berkenaan berlangsung,” katanya.
Semalam, suspek lelaki yang berusia 22 tahun dan suspek perempuan berusia 17 tahun dikenakan tahanan reman dua hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru. Perintah reman itu bagi membantu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dikeluarkan Majistret, Noorfazlin Hamdan.
Terdahulu, tular dalam media sosial satu rakaman memaparkan kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan jelik di dalam sebuah kenderaan berwarna merah. – UTUSAN