Polis buru suspek kes ragut warga emas - Utusan Malaysia

Polis buru suspek kes ragut warga emas

TANGKAP layar rakaman CCTV kejadian ragut seorang lelaki warga emas di tepi Jalan Masjid di pekan Kampar yang tular dalam media sosial. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Polis sedang memburu suspek kes ragut seorang lelaki warga emas di tepi Jalan Masjid dekat Pekan Kampar di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kejadian pada pukul 9.45 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 62 tahun sedang memberhentikan motosikal di tepi jalan.

Katanya, sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggang suspek telah berhenti di kiri motosikal mangsa sebelum lelaki itu menarik rantai emas di leher mangsa dan melarikan diri.

“Dalam kejadian itu, mangsa bertindak pantas dengan melompat ke motosikal suspek hingga menyebabkan kenderaan itu terbabas.

“Suspek berjaya melarikan diri ke Jalan Gopeng dengan meninggalkan motosikalnya di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika kejadian, suspek yang berbadan kurus dan berketinggian lebih kurang 170 sentimeter memakai helmet tutup muka penuh, berjaket hitam dan berseluar panjang.

Katanya, butir-butir diri suspek telah diperolehi namun didapati lelaki itu menggunakan alamat yang tidak wujud.

“Usaha mengesan suspek tersebut masih diteruskan. Kejadian itu menyebabkan mangsa luka di kedua-dua lutut kerana terjatuh,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman kejadian berdurasi satu minit 12 saat yang memaparkan pergelutan antara suspek dan mangsa selepas lelaki itu meragut rantai leher milik warga emas berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya