IPOH: Polis tidak akan mengeluarkan saman buat sementara waktu kepada kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penangguhan sehingga Mei itu mengambil kira keperluan petak parkir yang tidak mencukupi selain pembinaan parkir baharu yang masih dalam proses.
Katanya, kelonggaran itu bagaimanapun bersyarat di mana kenderaan perlu dipastikan tidak menghalang lalu lintas atau pergerakan keluar masuk ambulans.
“Kita memikirkan kepentingan dari segi kebajikan dan keselesaan orang ramai yang mendapatkan rawatan di HRPB, jadi kita menangguhkan tindakan saman sehingga Mei ini.
“Saya nasihatkan orang ramai agar beri kerjasama meletakkan kenderaan di luar kawasan hospital secara teratur, tidak ‘double parking’ dan menghalang lalu lintas pada pengguna lain selain tidak mengganggu pergerakan ambulans.
“Jika terdapat halangan, maka tindakan saman tetap akan dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pada Program High Profile Policing (HPP) Bazar Ramadan PDRM Perak 2023 di Bazar Ramadan Stadium di sini hari ini.
Menurut beliau, anggota polis akan diletakkan secara berkala selain rondaan oleh anggota trafik, Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di sekitar kawasan hospital bagi memastikan kelancaran lalu lintas.
“Perbincangan mengenai perkara ini telah dilakukan Isnin lalu bersama kerajaan negeri menerusi Pengerusi Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan.
“Jadi dalam pertemuan tersebut kita telah mendapat kata sepakat untuk pihak polis menangguhkan sementara tindakan yang diambil terhadap pengguna atau orang ramai yang datang berurusan di hospital,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri akan berbincang dengan polis dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memohon pertimbangan supaya tidak mengeluarkan saman kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di luar pekarangan HRPB.
Perkara itu susulan rungutan dan keluhan orang ramai berhubung isu parkir yang tidak berkesudahan, selain mereka sering disaman kerana meletakkan kenderaan di tepi jalan dekat hospital.
Kawasan parkir perkhidmatan van shuttle yang ada sebelum ini ditutup bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan parkir baharu yang lebih sistematik.
Parkir baharu dengan kapasiti 240 petak itu dijangka siap pada pertengahan Mei tahun ini. – UTUSAN