SELAYANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan inisiatif khas buat peniaga Menu Rahmah dalam pakej berita gembira Selasa depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu berkaitan harga bahan mentah lebih rendah khusus kepada 1,700 peniaga menu tersebut yang berdaftar dengan kementerian.
Katanya, KPDN sedang melakukan pelbagai libat urus dalam memastikan hasrat berkenaan tercapai dan yakin ia akan dapat diselesaikan segera.
Ujarnya, libat urus itu akan terus diadakan supaya pasar raya besar dapt juga memberikan tawaran Rahmah kepada semua peniaga Menu Rahmah.
“Mungkin mereka akan diberi kad, atau ada pengenalan khas untuk mereka. Bila mereka tunjuk kad yang KPDN akan pastikan kesahihannya, mereka boleh pergi ke pasar raya yang mengambil bahagian.
“Di sana, mereka akan dapat beli dengan harga lebih rendah daripada harga biasa,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri 2023 di sebuah pasaraya di sini hari ini.
Menurut Salahuddin, perincian mengenai barangan dan mekanisme itu bagaimanapun masih lagi dalam perbincangan dan akan diumumkan Perdana Menteri nanti.
Namun, katanya, berdasarkan cadangan, peniaga berkemungkinan mendapat harga lebih rendah untuk barangan asas seperti beras, ayam, sayur dan bahan lain seperti bawang, halia serta cili.-utusan