PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang berhubung cadangan pindaan dua peruntukan dibawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 pada persidangan Parlimen hujung tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pindaan akta tersebut akan lebih memfokuskan kepada Seksyen 15 dan 16 iaitu peruntukan yang berkaitan dngan pelajar.
Beliau turut memaklumkan bahawa draf bagi pindaan akta itu akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sekitar pertengahan Jun ini.
“Prosesnya ialah kita kena pastikan pindaan itu diluluskan dan dipersetujui AGC, sebelum bentang di Kabinet, perlu dapat input daripada kementerian-kementerian lain dan sebagainya.
“(Jangkaan pembentangan) bergantung kepada akta-akta lain yang (sedang) menunggu, kita mungkin boleh baca bacaan pertama kalau siap mungkin (pada) tahun ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas sesi Town Hall AUKU 1971 di sini hari ini.
Pada 19 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan komitmen untuk memansuhkan beberapa peruntukan yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah dalam AUKU 1971.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berpendapat bahawa pindaan yang bakal dilaksanakan itu dapat membangunkan kematangan serta kedewasaan dalam diri para pelajar.
Ini kerana katanya, proses memuktamadkan fasal-fasal yang melibatkan pelajar itu akan menambahkan lagi ruang dan kebebasan untuk mereka bergerak sepanjang bergelar seorang mahasiswa.
“Satu daripada perkara yang mereka selalu bangkitkan adalah mereka tidak bebas untuk buat aktiviti kerana perlu merujuk dan mendapat kelulusan daripada pihak universiti.
“Kedua, kalau pun diluluskan mereka tiada kemampuan punca kewangan atau tekanan ketiadaan wang yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti,”katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, sekiranya pindaan AUKU diluluskan, Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173) juga berkemungkinan akan dipinda.
“Memang benar UiTM tak tertakluk kepada AUKU tetapi banyak fasal-fasal dalam Akta UiTM mirip fasal-fasal dalam AUKU.
“Takkan lah bila kita pinda AUKU (tetapi) Akta UiTM tak dipinda, nanti ada gerakan pula dalam UiTM yang menuntut dan mendesak menteri untuk pinda supaya sama macam AUKU, kalau tidak UiTM (akan) keterbelakang,” ujarnya. – UTUSAN