Pilih laluan jauh ke Port Sudan atas faktor keselamatan

Pilih laluan jauh ke Port Sudan atas faktor keselamatan

RAZDAN Jamil bercakap pada sidang akhbar ketibaan 30 rakyat Malaysia dari Sudan di KLIA. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Walaupun ada laluan lebih dekat, namun misi membawa keluar rakyat Malaysia di Sudan baru-baru ini memilih laluan jauh demi memastikan pergerakan selamat tanpa gangguan dan risiko.

Duta Besar Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil berkata, laluan paling dekat sekitar 800 kilometer (km) menuju ke Port Sudan, namun pihaknya memilih laluan lebih jauh sehingga 1,300 km.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa melakukan penilaian dalam memilih laluan keluar paling kurang berisiko dan bukan laluan yang menjadi sasaran serang hendap Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF).

“Kami terpaksa keluar dari Rumah Malaysia Sudan selepas kawasan itu mula terdedah dengan peluru sesat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, pihaknya juga perlu memilih laluan selamat untuk keluar memandangkan ada laluan yang menjadi perebutan antara dua pihak konflik.

Mohamad Razdan berkata, jalan utama yang dipilih itu adalah ke arah selatan negara (ke Pelabuhan Sudan) melalui kawasan Wad Madani dan Qasala.

Menurutnya, masalah utama ketika pergerakan keluar adalah keadaan jalan yang teruk dan penuh lubang serta tidak rata.

“Setiap 50 hingga 80 kilometer akan ada pos pemeriksaan ‘check point’ tentera, cuma kita tidak tahu pihak mana yang mengawal tetapi hampir sepanjang laluan dikawal oleh tentera negara Sudan.

“Pemandu kami juga mempunyai hubungan baik dengan pihak yang menjaga pos pemeriksaan ini, jadi ini memudahkan perjalanan konvoi kami,” katanya.

Katanya, perjalanan itu turut diiringi konvoi keselamatan kerajaan Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Jelas Mohamad Razdan lagi, konvoi sepatutnya tiba pada pukul 3 pagi pada 24 April di Port Sudan tetapi hanya sampai 12 jam kemudian selepas dinasihatkan tidak meneruskan perjalanan awal pagi kerana berisiko.

“Kita dinasihatkan untuk berhenti rehat di Qasala (pertengahan jalan antara Karthoum dan Port Sudan) dan bermalam sebelum meneruskan perjalanan esoknya.

“Apabila tiba di Port Sudan, konvoi juga berhadapan pemeriksaan keselamatan yang sangat ketat, namun akhirnya segalanya dipermudahkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya