ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menempelak Pakatan Harapan (PH) yang memimpin Kedah sebelum ini kerana didakwa menjadi punca kelewatan menaik taraf infrastruktur air di negeri itu.
Menurutnya, usaha menaik taraf infrastruktur air di Kedah dirancang sejak 2010 melalui penubuhan Syarikat Air Darul Aman (SADA), audit kedudukan semasa dan unjuran keperluan masa depan bekalan air yang sudah dilaksanakan ketika itu.
Sejak 2013 katanya, kerajaan negeri ketika itu sudah mengenal pasti dan memuktamadkan langkah yang wajib iaitu mengatasi masalah air tidak terhasil (NRW) selain penggantian paip utama dan keperluan loji rawatan air (LRA) baharu.
“Selepas melalui proses rundingan harga dan aspek teknikal, kerajaan Pusat setuju memberi geran dan pinjaman untuk lima LRA baharu berjumlah RM931 juta. Iklan tender pembinaan pun dikeluarkan dan kebetulan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlaku di mana PH mendapat kuasa.
“Atas dasar sangsi dan kurang percaya terhadap kerajaan sebelum PRU14, PH menarik semula iklan tender. Mereka melantik konsultan baharu untuk mengkaji langkah bagi mengatasi masalah air dan kos yang wajar,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Tambah Muhammad Sanusi, selepas kira-kira 20 bulan kajian itu dijalankan, konsultan dilantik oleh kerajaan PH akhirnya mengemukakan hasil mereka.
“Dapatan itu sama dengan keputusan sebelum ini iaitu lima LRA tersebut perlu dibangunkan dengan kos sama iaitu RM931 juta. Iklan tender pun dikeluarkan semula, sama dengan yang lama.
“Akibatnya, projek tersebut tertangguh 20 bulan dan kos baharu perlu ditambah kerana perlu membayar yuran konsultasi bernilai ratusan ribu ringgit,” katanya.
Secara sinis beliau berkata, itulah ‘jasa-jasa’ PH terhadap isu air Kedah selain meninggalkan SADA beroperasi dalam kerugian mencecah RM36 juta pada 2019.
“Hutang bertampuk pula mencapai RM174 juta. Sekarang ini ‘mai’ buat cakap pandai lagi,” katanya. –UTUSAN