SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor muktamadkan agihan kerusi dalam gabungannya esok sebelum dibawa ke peringkat pimpinan tertinggi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi PH negeri ini, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pimpinan parti akan membuat keputusan untuk tindakan selanjutnya dan berharap dapat diselesaikan segera supaya kedua-dua pihak bersedia menghadapi pilihan raya.
“Proses rundingan berjalan lancar walaupun ada pihak yang tidak berpuas hati dengan agihan kerusi yang dan takkan selesai sehingga sampai hari penamaan calon.
“Tetapi, kita memang adakan perbincangan secara terbuka, telus dan jujur dalam pelbagai aspek,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Shah Alam, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan PH dan BN Selangor akan menamatkan rundingan pembahagian kerusi selewat-lewatnya awal bulan hadapan.
Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor memaklumkan berlaku pertindihan kerusi antara PH dan BN di negeri melibatkan 20 peratus daripada 56 kerusi, namun yakin perkara tersebut akan diselesaikan oleh pimpinan di peringkat pusat.
“Ia perlu dimuktamadkan segera di peringkat pusat berikutan PRN tidak lama lagi. Di peringkat negeri hanya boleh berbincang (agihan kerusi) tetapi kepimpinan pusat yang tentukan. – UTUSAN