PH-BN bukan ‘kahwin paksa’, jodoh dipertemukan orang tua-tua - Mahfuz

PH-BN bukan ‘kahwin paksa’, jodoh dipertemukan orang tua-tua – Mahfuz

MAHFUZ Omar (depan, dua kiri) bersama Mahdzir Khalid melafazkan ikrar sempena Sidang Meja Bulat Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah di Sungai Petani. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri sebelum ini bukan sebagai ‘kahwin paksa’ seperti didakwa sesetengah pihak.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, ‘perkahwinan’ antara kedua-dua gabungan itu sebenarnya telah diatur oleh orang yang lebih berpengalaman dengan ‘percintaan’ akan menjadi lebih intim selepas ‘bernikah’.

“Ini bukan kahwin paksa tetapi perkahwinan hasil dipertemukan jodoh oleh orang tua-tua seperti dahulu iaitu Yang di-Pertuan Agong yang mempertemukan jodoh kami. Insya Allah percintaan selepas daripada pernikahan akan lebih intim dan akan membawa lebih kebahagiaan dan kerukunan dalam rukun rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sidang Meja Bulat Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah yang turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah di sini, malam tadi.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keretakan hubungan lebih teruk boleh berlaku jika tiada persefahaman antara gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama melibatkan ‘pergeseran’ kenyataan antara UMNO dan DAP berhubung peranan masing-masing bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Kata bekas Perdana Menteri itu, perkara berkenaan jelas dilihat apabila dua pemimpin parti saling membalas kenyataan yang dilihat mampu memberi kesan negatif dan akhirnya boleh menyebabkan perpecahan.

“Apa pun yang kita buat mesti suka sama suka, kahwin paksa memang tak akan jadi. Jadi kalau kawin paksa macam ini, tidak ada perasaan antara satu sama lain, akan berlakulah keretakan,” kata Ismail Sabri.

Dalam pada itu, Mahfuz membuat penjelasan secara terbuka bahawa beliau bukan calon Menteri Besar Kedah sekiranya gabungan itu menewaskan Perikatan Nasional (PN) pada PRN akan datang ketika diminta mengulas mengenai poster boy gabungan itu.

“Kita akan bincang selepas ini untuk siapa calon MB, yang pasti bukan saya sebab kalau saya jadi MB sah ada orang masuk wad gila. Sekarang ini pun sudah setengah gila dah jadi yang orang tularkan video semua itu menunjukkan kegelisahan mereka untuk melaga-lagakan kita.

“Kita tak bincang lagi. Kita nak selesaikan dahulu (pembahagian) kerusi. Selepas itu Insya Allah kita akan tentukan dan yang penting calon MB kita daripada gabungan perpaduan.

“Dalam konteks PN menawarkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (sebagai calon MB seterusnya) kerana dia pun tak ada calon lain. Itulah yang ‘paling baik’ mereka ada yang ‘loklaq’ yang ‘rempang’ itulah yang paling baik,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN