Petisyen ampun Najib tak dibincang? - Utusan Malaysia

Petisyen ampun Najib tak dibincang?

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ­Petisyen pengampunan bekas Per­dana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap hukuman penjara dan denda tidak semestinya dibincangkan dalam Lembaga Pengampunan yang dijadual bermesyua­rat Jumaat ini.

Perkara itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada permohonan pengampunan Najib akan disentuh dalam mesyua­rat berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, keutamaan ­permohonan pengampunan yang di­bawa ke dalam mesyuarat itu bergantung kepada Urus Setia Lembaga Pengampunan di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Per­dana Menteri bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan.

Bagi petisyen selain Wilayah Persekutuan, proses itu dilakukan urus setia di negeri ma­sing-masing.

“Tidak semestinya mesyuarat itu bincang kes tertentu (termasuk kes Najib). Ada banyak lagi petisyen pengampunan yang diterima dan terse­rah kepada mereka untuk bawa mana satu ke dalam mesyuarat,” katanya.

Difahamkan ­Lembaga Pengampunan me­nga­dakan mesyuarat Ju­maat ini bagi membincangkan permohonan petisyen pengampunan dikemukakan oleh banduan yang gagal dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Namun sehingga kini belum pasti sama ada permohonan pengampunan Najib dibincangkan dalam mesyuarat itu walaupun keluarga bekas Perdana Menteri itu dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini pernah membuat ketetapan merayu pengampunan bagi Najib daripada Yang di-Pertuan ­Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu pada September tahun lalu memfailkan permohonan pengampunan diraja setelah Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara itu serta denda RM210 juta setelah didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 31 Mac lalu, Najib gagal dalam permohonannya untuk menyemak sabitan dan hukuman itu.

Dalam pada itu, Abu Talib berkata, Yang di-Pertuan Agong berhak mengeluarkan hasil keputusan mesyuarat dengan serta-merta atau menangguhkan kepada tarikh lain.

“Itu kuasa (pengampunan) terserah kepada Seri Paduka. Tidak mesti bincang hari sama, maka akan ada keputusan segera, Baginda boleh tangguh ke dalam ke tarikh mesyuarat lain,” katanya.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu mempertimbang nasihat anggota Lembaga Pengampunan meskipun Seri Paduka mempunyai kuasa mutlak memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum.

Sehubungan itu beliau berkata, tujuan Lembaga Pengampuan diwujudkan untuk memberi nasihat kepada Seri Paduka sebelum mempertimbang sebarang petisyen pengampunan.

“Di bawah Perkara 42(5) Lembaga Pengampunan terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Menteri Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang dilantik oleh Agong.

“Sebelum memberikan nasihat mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN