PUTRAJAYA: Seramai 240,000 pesawah dan 38,500 nelayan di seluruh negara akan menerima bantuan khas RM200 yang akan dibayar mulai 10 April ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menerusi kenyataan berkata, bayaran secara one-off itu akan disalurkan menerusi agensi dan jabatan berkaitan.
Menurutnya, bayaran kepada pesawah akan disalurkan menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
“Manakala, nelayan laut pula disalurkan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan nelayan darat menerusi Jabatan Perikanan Malaysia (DOF),” katanya.
Katanya, kriteria penerima membabitkan pesawah, nelayan laut dan nelayan darat warganegara Malaysia dan pesawah yang terlibat dalam aktiviti penanaman padi pada tahun 2022 dan berdaftar dengan agensi yang dilantik oleh kerajaan.
Jelasnya lagi, kriteria lain termasuk nelayan laut dan nelayan darat yang aktif menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan berdaftar dengan agensi yang dilantik oleh kerajaan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri Tahun 2023 kepada pesawah dan nelayan sebagai membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan dalam memastikan nasib golongan itu sentiasa terpelihara dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
MAFS berharap bantuan yang diberikan ini dapat membantu pesawah dan nelayan dalam membuat persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.- UTUSAN