Pesakit kanser pankreas kecewa tiga kali tuntutan mySalam ditolak - Utusan Malaysia

Pesakit kanser pankreas kecewa tiga kali tuntutan mySalam ditolak

M. Puvaneswari (kiri) menunjukkan laporan perubatan pakar dan juga permohonan mySalam yang dibuat untuk M. Kanagasabapathy yang ditolak di Temerloh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kakak kepada pesakit kanser pankreas tahap empat kecewa apabila mendakwa tiga kali permohonannya gagal mendapatkan skim Perlin­dungan Kesihatan Masyarakat (mySalam).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, M. Puvaneswari, 62, berkata, adiknya, M. Kanagasabapathy, 60, yang juga orang kurang upaya (OKU) disahkan menderita kanser pankreas tahap empat sejak tahun lalu.

Menurutnya, adiknya yang bujang dan tinggal seorang diri hanya bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Jadi katanya, dia begitu ber­harap bantuan daripada mySalam bagi menampung per­belanjaan rawatan adiknya yang perlu dilakukan secara berterusan pada masa ini.

“Saya kecewa apabila tiga kali permohonan mySalam ditolak. Doktor pakar pun pelik kenapa permohonan ditolak sedangkan ada surat dan laporan mengesahkan penyakit adik.

“Alasan mereka amat tidak logik kerana mereka mahukan tisu kanser sedangkan doktor menyatakan pembedahan tidak dapat dilakukan kerana tumor berada di bawah dan terpaksa ‘membuka’ lima organ lain, adik saya sudah tua, mungkin pembedahan akan membunuhnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bahagia Indah di sini semalam.

Puvaneswari berkata, adiknya yang mengalami simptom mata berwarna kuning dan kekura­ngan darah sehingga mudah terjatuh dan sering muntah disahkan menghidap kanser pankreas selepas doktor melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) tahun lalu.

Menurutnya, dia mula membuat permohonan pada 4 Oktober tahun lalu dengan mengisi borang sebelum ditolak dengan alasan perlu menyertakan surat doktor pakar.

Katanya, dia kemudiannya mem­­­buat permohonan kedua yang lengkap dengan surat doktor pada Januari lalu tetapi masih ditolak kerana alasan pilihan raya.

“Saya ulang semula permohonan pada Februari dan kali ini pun ditolak kerana mereka mahu sampel kanser sedangkan dalam surat doktor ada tulis pembedahan tidak boleh dilakukan, takkan doktor pakar hendak berbohong,” katanya.

MySalam merupakan sebuah inisiatif skim takaful perlin­dungan kesihatan percuma oleh kerajaan yang memberikan perlindungan takaful kepada individu yang layak.

Skim perlindungan kesihatan ini disediakan kerajaan untuk membantu golongan miskin yang memerlukan bantuan mengatasi masalah kewangan apabila menghidapi penyakit-penyakit kritikal.

Sebagai dana permulaan, tabung amanah mySalam telah dibuka dengan kemasukan dana sebanyak RM2 bilion yang mana jumlah itu dijangka dapat memastikan kemapanan program untuk sekurang-kurangnya lima tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN