'Peruntukan pembangkang adalah hak untuk rakyat' - Utusan Malaysia

‘Peruntukan pembangkang adalah hak untuk rakyat’

SHAHIDAN Kassim (lima dari kanan) melayan tetamu pada majlis rumah terbuka Parlimen Arau di Kubang Gajah, Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim terus mempersoalkan pemberian peruntukan buat ahli Parlimen pembangkang yang masih belum diterima sehingga kini.

Menurut beliau, sehingga kini, tiada mana-mana wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) menerima kelulusan bayaran peruntukan itu dan kelulusan hanya diberikan buat sebilangan ahli Parlimen sahaja.

Katanya, pemberian peruntukan itu adalah untuk digunakan bagi memberi perkhidmatan buat rakyat khususnya pada Hari Raya Aidilfitri ini.

“Sudah pasti saya akan persoalkan kembali tentang perkara ini dalam sidang Parlimen pada Mei depan.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana peruntukan itu diluluskan untuk semua tapi mengapa hanya diberi kepada sebilangan kecil ahli Parlimen sahaja,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Parlimen Arau di Dewan Serbaguna Kubang Gajah di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan kerajaan Perpaduan secara dasar bersedia memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang namun hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran.

Katanya, rundingan berkaitan peruntukan kepada itu sedang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Belanjawan 2023 yang diluluskan pada Mac lalu memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, semua ahli Parlimen PN memenangi pilihan raya atas sokongan rakyat dan peruntukan yang dituntut itu adalah merupakan hak mereka.

“Rakyat mengharapkan agar kerajaan Madani ini dapat membantu mereka malah mana mungkin mereka percaya yang tiada peruntukan diberikan kepada ahli Parlimen pembangkang.

“Tapi tidak mengapa, demi rakyat kami akan usahakan juga (untuk cari dana),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya