Pertemuan terakhir isteri di kem sebelum sertai operasi - Utusan Malaysia

Pertemuan terakhir isteri di kem sebelum sertai operasi

NURHAYATUL HUSNA Abdul Muttalib menunjukkan gambar suaminya, Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib di kediaman ibu mentuanya di Pulau Mertajam, Penaga, Pulau Pinang. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: “Kali terakhir saya bertemu arwah pada 2 Mac lalu ketika menghantarnya ke kem sebelum bertolak ke lokasi operasi,” kata isteri kepada anggota tentera, Koperal Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib yang dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia di Hutan Simpan Royal Belum.

Nurhayatul Husna Abdul Muttalib,30, berkata, dia memohon izin suaminya untuk pulang ke Sungai Petani, Kedah bersama dua anak mereka untuk menyambut Aidilfitri kali ini.

“Memandangkan arwah tidak dapat bercuti tahun ini, dia membenarkan saya bersama anak-anak untuk pulang ke kampung.

“Kalau tidak silap saya, arwah dijangka menamatkan operasi awal bulan depan dan kali terakhir kami beraya bersama adalah pada Aidilfitri tahun lepas,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu mentuanya di Pulau Mertajam, di sini hari ini.

Tambahnya, mereka sekeluarga tinggal di kuarters Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong sejak mendirikan rumah tangga lima tahun lalu.

Katanya, hasil perkahwinan mereka dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan yang masing-masing berusia empat dan dua tahun.

“Sikap arwah sangat menyenangkan kami sekeluarga, dia seorang suami yang penyayang dan sabar melayani kerenah anak-anak.

“Tidak ada kata yang dapat menggambarkan perasaan kami sekeluarga kerana selalunya setiap kali arwah menyertai operasi, dia akan balik dalam keadaan yang selamat.

“Walau bagaimanapun, kami reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap ia satu ujian Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican berkata, urusan membawa pulang jenazah sedang diuruskan oleh pihak tentera sebelum disolat dan dikebumikan di Pulau Mertajam.

Jumaat lalu, media melaporkan mangsa dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum pada pukul 12.50 tengah malam.

Mangsa merupakan anggota dari Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong, Pahang.

Sementara itu, ibu arwah, Fadzilah Abu Bakar, 56, berkata, kali terakhir dia bertemu anak tunggalnya itu ialah pada Disember lepas.

Katanya, Jumaat lalu, arwah anaknya ada menghubunginya, namun tidak ada sebarang perubahan yang ditunjukkan sepanjang perbualan.

“Sepanjang 12 tahun berkhidmat, memang arwah sudah biasa sertai operasi dan keluar masuk hutan.

“Dia mengikut jejak langkah arwah ayahnya yang juga pernah berkhidmat sebagai anggota tentera.

“Saya sudah biasa dengan rutin tugasnya sehinggakan kami tidak pernah ada rancangan untuk berhari raya bersama-sama,, sebaliknya jika dia mendapat cuti, barulah kami meraikannya bersama-sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya