MELAKA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, agar umat Islam di negara ini terus mempertahankan institusi masjid daripada dijadikan gelanggang politik oleh mana-mana pihak.
Menegaskan perkara tersebut, Seri Paduka bertitah, masjid perlu menjadi satu institusi yang cukup suci, mulia, dihormati dan dihargai serta menjadi contoh kepada agama-agama lain di Malaysia.
Menurut Al-Sultan Abdullah, masjid tidak boleh menjadi tempat umat Islam berpecah-belah, sebaliknya harus dipelihara oleh bukan sahaja dalam kalangan pemimpin tetapi juga kariah di masjid berkenaan.
“Saya ingin ingatkan bahawa kita semua harus menghargai, menghormati dan menyayangi institusi masjid di Melaka dan di negara kita ini.
“Ini penting supaya kita sentiasa menjadikan institusi masjid sebagai satu institusi yang cukup suci, cukup mulia dan cukup dihormati serta menjadi contoh kepada agama-agama lain.
“Kita tidak mahu institusi masjid dijadikan tempat kita berpecah-belah. Nauzubillah. Kita semua harus menentukan keharmonian masjid ini tetap dipelihara oleh kita umat Islam bukan dalam kalangan pihak pemimpin semata-mata tetapi juga kariah masjid berkenaan,” titah Seri Paduka pada Majlis Pemasyhuran Masjid Ar-Razak serta majlis berbuka puasa bersama rakyat di Bachang di sini, petang semalam.
Turut berkenan berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah, sejak dari awal kewujudan masjid adalah bertujuan untuk memuliakan Islam sebagai agama rasmi kepada majoriti rakyat di negara ini.
Seri Paduka turut mengingatkan seluruh umat Islam agar terus meningkatkan amalan khususnya sepanjang Ramadan, menjelang dua minggu sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan lafaz tahniah di atas pelantikan Ab. Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 serta terima kasih kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
“Saya amat hargai segala usaha Sulaiman dan mengucapkan terima kasih atas persiapan yang telah beliau lakukan sebelum ini. Saya berbesar hati dapat datang ke Melaka kerana ini adalah kali ketiga sampai sejak 2019,” titah Seri Paduka. – UTUSAN