Persidangan Dewan Rakyat selama 31 hari labuhkan tirai

Persidangan Dewan Rakyat selama 31 hari labuhkan tirai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 penuh warna-warni sekali gus melabuhkan tirainya hari ini selepas 31 hari bersidang. 

Mesyuarat kali ini diwarnai dengan perangai ahli-ahli Parlimen yang sukar dijangka, sehingga menimbulkan kekecohan setiap kali berbahas atau memulakan celahan.

Tidak cukup dengan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan dua Timbalannya, dalam keadaan tertentu terpaksa mengarahkan ahli-ahli Parlimen keluar dewan, malah ada yang digantung. Ini kerana sesetengahnya didakwa melanggar peraturan mesyuarat dan menimbulkan sangkaan jahat terhadap orang lain.

Ahli Parlimen yang diarah keluar dewan antaranya Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut), Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang), Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan RSN Rayer (PH-Jelutong). 

Antara isu popular yang sering dibangkitkan semasa sesi perbahasan adalah mengenai pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), isu kesihatan, doktor kontrak, usaha menumbangkan Kerajaan Perpaduan, himpunan sempena Hari Wanita Sedunia yang turut disertai sekumpulan penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pertahanan negara dan pendidikan.  

Buat pertama kali pada sidang ini juga, sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap Selasa dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat kali ini menyaksikan sebanyak 12 rang undang-undang diluluskan iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan 2023, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2022) 2023, Rang Undang-Undang Kewangan 2023 dan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023.

Pemerkasaan undang-undang terhadap pesalah jenayah kanak-kanak turut mendapat perhatian Dewan Rakyat apabila Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 diluluskan.

Selain itu Rang Undang-Undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan), Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 turut diluluskan.

Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023.

Mesyuarat kali ini juga telah memperlihat pelbagai pembaharuan yang diterap dalam urusan Dewan Rakyat antaranya jumlah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan kerap kali melebihi daripada 10 pertanyaan lisan.

Ini disusuli urusan Kamar Khas yang telah memberi peluang kepada Ahli Parlimen seramai tujuh ahli daripada pihak kerajaan dan enam ahli daripada pihak pembangkang untuk mempengerusikan secara sementara mesyuarat Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 16 (5), yang tidak pernah berlaku sebelum ini. 

Sebanyak 10 Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Rakyat Parlimen ke-15 turut ditubuhkan iaitu JKPK Kewangan dan Ekonomi; JKPK Kesihatan; JKPK Perdagangan dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian; JKPK Infrastruktur Pengangkutan dan Komunikasi; JKPK Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, JKPK Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat serta JKPK Alam Sekitar, Sains dan Perladangan; JKPK Keselamatan, JKPK Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa serta JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Dewan Rakyat kemudian menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan. Bagaimanapun, mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 22 Mei hingga 15 Jun depan. –utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN