LUMUT: Jangkaan perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) tahun depan dan Kapal Misi Pesisir (LMS) kumpulan kedua pada 2027 mampu memberi dimensi keupayaan tempur yang berbeza kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ia penting khususnya dalam menghadapi situasi geo-strategik dan politik dunia termasuk di rantau ini yang tidak menentu serta tiada jaminan kestabilan termasuk pertembungan secara berterusan kuasa besar di Laut China Selatan.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, ketika ini tahap kesiapsiagaan pasukan itu di Laut China Selatan berada pada tahap memuaskan sahaja, berdasarkan keadaan aset sedia ada.
Beliau menegaskan, banyak lagi ruang peningkatan yang diperlukan untuk TLDM berada pada tahap yang dijangkakan.
“Jadi, dengan keadaan persekitaran yang agak mencabar (khususnya di Laut China Selatan) buat masa ini, kita akan lakukan apa sahaja berdasarkan apa yang kita ada.
“Banyak yang boleh dilakukan untuk memastikan kita berada pada tahap yang lebih baik lagi, termasuk perolehan LCS dan LMS batch kedua yang memberi kita dimensi keupayaan tempur yang berbeza.
“Semua ini akan berlaku pada 2026 dan 2027, tetapi penting kita mulakan daripada sekarang,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Ulangtahun TLDM Ke-89 di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
Menurut beliau, pembinaan LCS dijangka disambung semula kira-kira tiga bulan selepas perjanjian kontrak tambahan projek tersebut dijangka ditandatangani ketika Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkass Langkawi (LIMA) 2023 di Pulau Langkawi, bulan depan.
Bagi LMS kumpulan kedua pula, beliau berharap kaedah perolehan dapat dimuktamadkan tahun ini dan TLDM secara amnya sudah bersedia dengan spesifikasi yang dikehendaki.
“Perkara ini telah dibincangkan dan ditetapkan apa keperluan kita dengan TLDM telah mengenal pasti model kapal berpotensi menjadi LMS kumpulan kedua ini.
“Di dalam perancangan kita, ada tiga LMS sahaja (bagi kumpulan kedua) dengan 2027 adalah kapal pertama diterima serta mempunyai keupayaan tempur di permukaan dan udara, serta lebih besar dari kapal kumpulan pertama,” jelasnya.
Beliau berkata, walaupun TLDM sudah memperoleh empat LMS dalam kumpulan pertama, ia sebenarnya tidak begitu menepati keperluan pasukan itu kerana tiada keupayaan tempur, justeru pihaknya mencadangkan perolehan LMS kumpulan kedua yang dirasakan lebih sesuai dalam memenuhi keperluan masa kini dan akan datang.
“Sudah pasti ia adalah salah satu usaha untuk menggantikan aset usang yang kita ada ketika ini,” katanya
Dalam pada itu, beliau memberitahu terdapat 13 kapal tentera laut luar negara termasuk dari Amerika Syarikat dan Itali telah mengesahkan menyertai LIMA yang dijadualkan pada 23 hingga 27 Mei depan.
“Dua lagi kapal tentera laut asing masih dalam proses pengesahan dan kami menjangka 15 kapal tentera laut asing khususnya dari rantau ini, akan menyertai pameran tersebut,” katanya. – UTUSAN