PUTRAJAYA: Permohonan lesen perubahan sementara (LPS) bagi pengoperasian bas sementara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri masih dibuka.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, berdasarkan data dikumpul Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), wujud pertambahan permohonan LPS ketika ini.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan permohonan LPS akan bertambah beberapa hari sebelum Hari Raya.
“Walaupun sudah ada penambahan LPS ketika ini, namun saya yakin belum cukup mampu menampung keperluan sedia ada.
“Kementerian terbuka untuk mana-mana syarikat operasi pengangkutan untuk memohon LPS jika mereka ada kapasiti untuk beroperasi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, jumlah penambahan LPS sedang dikumpulkan dan akan diumumkan sehari dua lagi.
Media sebelum ini melaporkan tiket bas ekspres untuk pulang beraya bagi laluan ke utara dan timur tanah air kebanyakannya sudah habis dijual. – UTUSAN