ARAU: Setiap jawatankuasa kariah masjid di negeri ini digalakkan untuk menganjurkan solat sunat Aidilfitri di tanah lapang yang diselaraskan pada pukul 8 pagi seperti pelaksanaan tahun lalu.
Pemilihan tanah lapang itu juga adalah tertakluk kepada ketetapan setiap jawatankuasa kariah terlibat.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bagaimanapun, jawatankuasa berkenaan boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang dan bilangan jemaah yang hadir.
“Bagi pelaksanaan solat sunat Aidilfitri selain tanah lapang yang ditentukan oleh pihak jawatankuasa kariah seperti surau rasmi dalam negeri ini, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs),” titah baginda dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan, solat sunat Aidilfitri boleh dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada pukul 8.15 pagi.
Titahnya, hebahan berkaitan perubahan lokasi dari tanah lapang ke ruang dalam masjid itu juga perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada pukul 7.45 pagi.
“Memandangkan terdapat peningkatan jumlah kes Covid-19 seperti dilaporkan media, maka jemaah digalakkan mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu seperti memakai pelitup muka serta membawa sejadah sendiri,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda juga menitahkan agar solat sunat Aidilfitri di kariah Kota Raja Arau dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau, di sini, dan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan, pelaksanaan ibadah itu akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau.
Titahnya, pengurusan setiap masjid juga perlu melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan solat sunat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk panduan dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis.
“Sekiranya Syawal jatuh pada 21 April, maka jemaah yang menghadiri solat sunat Aidilfitri boleh memilih untuk menunaikan solat Jumaat atau solat Zohor berdasarkan riwayat sahih daripada para salaf al-saleh,” titah baginda.
Di samping itu, baginda juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan buat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Titah Tuanku Syed Faizuddin, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid yang sentiasa berada di sisi Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan rasa syukur di atas perkembangan kesihatan baginda yang amat memberangsangkan.
“Beta ingin mengingatkan seluruh rakyat agar dapat menggunakan kesempatan Aidilfitri ini untuk bermuhasabah diri, memperbanyakkan istighfar serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia Allah SWT,” titah baginda.- UTUSAN