KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memeriahkan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri kerajaan negeri Sabah hari ini.
Majlis rumah terbuka yang dihadiri kira-kira 20,000 orang tetamu jemputan dan pengunjung dari seluruh Sabah itu bermula pada pukul 10 pagi hingga 2 petang.
Namun, orang ramai tiba di pekarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) seawal pukul 8 pagi.
Dalam majlis itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 70 orang kurang berkemampuan yang terdiri daripada warga emas, Persatuan Orang Buta Sabah, Persatuan Orang Pekak Sabah, penghuni rumah kebajikan dan rumah anak yatim.
Sebanyak 55 gerai yang menghidangkan pelbagai jenis makanan dan minuman turut dibuka bagi menyediakan pilihan makanan kepada orang ramai yang hadir pada majlis berkenaan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni; isteri Ketua Menteri, Datin Seri Julia Salag dan Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya dan Datuk Seri Jeffrey Kitingan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Pengerusi Penganjur Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Turut hadir pada majlis itu adalah pemimpin-pemimpin parti dari kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan iaitu Setiausaha Agung Parti Warisan (Warisan), Datuk Loretto S. Padua.- utusan