PETALING JAYA: Konsep Wasatiyyah atau kesederhanaan yang didukung Universiti Al-Azhar telah terbukti berjaya mendepani cabaran pemikiran ekstremisme dan keganasan yang mampu meruntuhkan negara serta merugikan umat Islam.
Konsep ini selari dengan seruan al-Quran untuk melahirkan masyarakat Madani khususnya di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.
Justeru sambutan Hari Al-Azhar Sedunia esok akan membawa para graduan serta kaum Muslimin sekalian mengingati peranan dan sumbangan pendidikan ummah yang besar itu.
Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) dalam kenyataan memaklumkan, sambutan itu bertujuan memperkasakan komitmen Universiti Al-Azhar supaya alumni di seluruh dunia dapat terus mencurahkan tenaga kepada ummah khususnya menghadapi golongan pelampau.
“Tidak dinafikan peranan Al-Azhar cukup penting di dalam menghadapi golongan pelampau atau dalam erti kata memerangi keganasan wujud dan tersebar seantero dunia dan sering bertembung dengan golongan ini di mana pemikiran mereka sememangnya sudah terkeluar daripada landasan ajaran Islam sebenar.
“Islam menentang keras terhadap pemikiran yang ekstrem. Sikap melampau dalam agama sebenarnya berpunca daripada kefahaman salah terhadap doktrin Islam dan hukum-hakamnya serta tidak memahami suasana yang menyumbang ke arah pembinaan doktrin serta hukum tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, bersempena Sambutan Hari al-Azhar Sedunia 2023M/1444H di Masjid Wilayah Persekutuan esok, dua buku akan dilancarkan iaitu terjemahan ‘Al-Qaul Al-Tayyeb’ dan ‘Memahami Pemikiran Melampau’.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menyampaikan perutusan secara dalam talian pada majlis tersebut.
Majlis ini dijangka dihadiri Al-Imam al-Akbar, Prof. Dr. Ahmed Mohamed Ahmed al-Tayyeb dan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
“Sambutan Hari al-Azhar Sedunia ini dicetuskan oleh Pejabat Syeikh al-Azhar di Mesir dan disambut di peringkat global.
“Ia diadakan bagi meraikan al-Azhar al-Sharif yang terkenal sebagai sebuah institusi keagamaan tinggi yang ditubuhkan lebih 1,083 tahun yang lalu dan sentiasa konsisten dengan pendekatan Wasatiyyah,” kata kenyataan itu.