IPOH: Perak akan menyediakan kemudahan insfrastruktur yang mencukupi bagi menampung kemasukan pekerja apabila Proton memindahkan keseluruhan operasinya dari Shah Alam ke Proton City di Tanjung Malim pada tahun 2027.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat tentang bagaimana untuk menyediakan insfrastruktur dengan kaedah yang lebih cepat terutamanya apabila perlu menyediakan ruang atau kawasan untuk perindustrian termasuk vendor.
“Dalam dalam masa yang sama, kerajaan negeri kena buat persiapan untuk menerima kehadiran, kebanjiran pekerja ini terutamanya dari segi kawasan perumahan.
“Lembaga Perumahan Perak telah melihat bagaimana untuk kita sediakan rumah yang mencukupi dan sekolah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan juadah raya kerajaan negeri kepada pasukan badan beruniform di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurut Saarani, untuk kemudahan sekolah, Proton City sedia untuk menyediakan tapak tetapi Kementerian Pendidikan akan mengemukakan perbelanjaan untuk membina sekolah dan menghantar guru yang mencukupi.
Katanya, bilangan sekolah yang akan dibina bergantung kepada bancian mengenai bilangan pelajar dan tapak untuk membina sekolah.
“Bayangkan jika 7,000 pekerja datang bawa 7,000 keluarga, jika sekurang-kurangnya satu keluarga ada tiga orang anak, bermakna 21,000 pelajar sekolah akan melimpah di Proton City, sebab itu sekolah yang mencukupi perlu disediakan di situ,” katanya.
Sementara itu, Saarani berkata, semasa berbuka puasa bersama Perdana Menteri dua hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu ada pertemuan yang dibuat bersama pemimpin kanan Proton Geely semasa melawat negara China baru-baru ini.
Menurutnya, Proton Geely akan menambah pelaburan di negara ini sebanyak RM32 billion yang akan masuk ke Proton City melalui Automative High Tech Valley (AHTV).
“Apabila Proton memindahkan operasinya dari Shah Alam ke Proton City di Tanjung Malim menjelang tahun 2027, keseluruhan operasinya akan berpindah ke situ.
“Vendor Proton Geely juga akan berpindah ke Tanjung Malim, itu yang dikatakan sebagai pelaburan tambahan yang akan masuk ke Proton City,” katanya. – UTUSAN