PETALING JAYA: Orang ramai yang menuju ke negeri Pantai Timur bersempena Hari Raya Aidilfitri berdepan kesesakan trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sejauh 11.6 kilometer (KM).
Menerusi pengkongsian orang ramai di media sosial, kesesakan itu bermula seawal pagi dipercayai terdapat kerja-kerja penyelenggaraan di lokasi.
Perkara disahkan LPT menerusi Facebook yang memaklumkan, trafik sesak 11.6KM dari KM 20.2 sehingga KM31.8 berikutan terdapat kerja-kerja penyelenggaraan di lokasi.
Keadaan itu secara tidak langsung mencetuskan kemarahan pengguna lebuh raya yang menyifatkan kerja penyelenggaran tidak seharusnya berlaku sepanjang kesesakan trafik lalu menjelang hari raya.
“Dekat nak raya, baru nak buat jalan,” kongsi pengguna Facebook milik Wan Ahmad Zahid.
Selain itu, seorang pengguna hairan mengapa kerja penyelenggaraan dilakukan sepanjang masa.
“Penyelenggaraan berlangsung sampai raya tahun depan ke?” luah pengguna Facebook dikenali Mohd. Alif.
Lebih menyedihkan terdapat seorang pengguna Facebook mahu pihak pengurusan LPT agar dapat membuka laluan kerana dia pulang segera bagi menghadiri pengebumian bapanya.
“Boleh tak buka sekejap. Bapa saya meninggal. Penting nak balik sebelum pengebumian,” luah Najwa.
Sebelum ini, ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjangkakan aliran trafik akan meningkat sehingga lebih tiga juta kenderaan di kedua-dua lebuh raya itu berikutan cuti perayaan Aidilfitri yang bermula minggu depan. – UTUSAN