PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan bantuan khas Aidilfitri dan Pesta Kaamatan sebanyak RM700 kepada penjawat awam negeri.
Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa Ketua Menteri Sabah Bersama Mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) Semenanjung, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini malam ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut bersetuju mengagihkan bantuan sebanyak RM350 kepada pesara awam negeri.
Menurutnya, bantuan khas itu akan diagihkan kepada penjawat awam negeri dan pesara pada 17 April depan.
Mengulas mengenai majlis berbuka puasa itu, Hajiji berkata, program itu diadakan setiap tahun bagi meraikan mahasiswa Sabah yang menyambung pengajian di Semenanjung Malaysia.
“Semoga majlis ini dapat meringankan rasa rindu mereka dalam menyambut Ramadan di perantauan,” katanya. – UTUSAN