SHAH ALAM: Peniaga-peniaga di negeri ini dilaporkan mematuhi kawalan harga di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP HRP) 2023 terhadap 30 jenis barangan termasuk ayam dan telur yang berkuat kuasa 15 hingga 30 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor pada 15 hingga 17 April lalu mendapati tiada peniaga yang melakukan kesalahan.
“Kesimpulan tersebut dibuat berdasarkan pemeriksaan KPDN Selangor terhadap 72 premis perniagaan sekitar negeri ini. Tempoh pelaksanaan SHMPP HRP adalah selama 16 hari iaitu termasuk dua hari semasa perayaan. Sejumlah 30 jenis barangan ditentukan harga maksimum di bawah skim ini,” katanya ketika ditemui di Pasaraya ST Rosyam Mart, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pelaksanaan SHMMP tahun 2022 di Selangor, sejumlah 1,327 premis diperiksa melibatkan 1,310 perniagaan runcit dan 17 peniaga borong.
“Mengikut rekod hanya tiga buah premis dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan menjual melebihi harga maksimum melibatkan satu kes dan gagal menggunakan tanda harga warna merah jambu dua kes.
“Statistik tersebut menunjukkan tahap pematuhan peniaga di Selangor di bawah SHMMP ini adalah baik dan ketidakpatuhan hanya pada tahap minimum,” ujarnya.
Tambah Mohd. Zawawi, beliau berharap pelaksanaan skim tersebut mencapai sasaran kerajaan untuk meringankan kos belanja pengguna di Selangor dalam tempoh musim perayaan di samping peniaga komited memberi kerjasama dalam mematuhi arahan serta beretika dalam menguruskan perniagaan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna disarankan membuat pembelian secara terancang dan tidak mencipta suasana pembelian panik yang boleh memberi kesan kepada bekalan.
Menurutnya, sehingga kini, prestasi keberadaan bekalan di negeri ini adalah terkawal dan pemeriksaan bekalan secara giat dilakukan oleh KPDN Selangor bagi membolehkan tindakan segera dan berfokus dapat dilaksanakan terhadap lokaliti yang terganggu bekalannya. – UTUSAN