Peniaga jual ‘pencuci mulut Rahmah’ - Utusan Malaysia

Peniaga jual ‘pencuci mulut Rahmah’

SAFIAHTulisman bersama pencuci mulut berkonsepkan Rahmah yang dijual pada harga RM1.80 di gerainya di Bazar Ramadan UTM, Skudai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih daripada 30 jenis pencuci mulut yang dijual pada harga RM1.80 setiap satu di Bazar Ramadan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini habis dijual dalam tempoh kurang dua jam.

Pengusaha jenama Limpahan Dessert, Darwan Darmuzi, 30, berkata, itu situasi yang dihadapi hampir setiap hari apabila gerainya mendapat sambutan baik pembeli, yang majoriti merupakan penuntut universiti awam itu.

Katanya, antara pencuci mulut yang dijual pada harga RM1.80 ialah kek potong, tart buah, tart keju, brownies, pavlova dan pastri-pastri lain.

“Saya dan isteri, Safiah Tulisman, 34, sudah terlibat dalam bidang ini sejak enam tahun lalu, namun ini merupakan kali pertama kami berniaga di bazar Ramadan.

“Kami tergerak untuk me­nyahut seruan kerajaan dalam usaha mengurangkan kos sara hidup orang ramai, langkah yang kami ambil adalah de­ngan menjual pencuci mulut berkonsepkan Rahmah.

“Sebelum ini, kami ba­nyak terima keluhan orang ramai yang mahu membeli kek namun harganya mahal, mencecah sehingga RM9 sepotong, jadi kami usahakan menjual pada harga RM1.80.

“Niatnya adalah untuk membantu orang ramai khususnya penuntut universiti di sini yang turut melibatkan individu daripada keluarga B40,” katanya kepada pembe­rita di sini semalam.

Tambah Darwan, dia bagaimanapun tidak menjangka inisiatif itu akan menerima sambutan cukup positif daripada orang ramai.

“Alhamdulillah, setiap hari sejak awal Ramadan, kami mula berniaga pada pukul 4 petang, namun tidak sampai pukul 6 petang semua pencuci mulut disediakan habis dijual, lebih daripada 30 jenis.

“Sambutan ini memang diluar jangkaan kami,” katanya yang mempunyai premis jualan tetap di Kulai.

Darwan bagaimanapun memberitahu, usaha itu lebih kepada membantu orang ramai, dan bukannya memikirkan keuntungan semata-mata.

“Tidak banyak keuntu­ngan yang diperoleh dengan menjual pada harga seperti ini. Namun saya percaya pada konsep rezeki, apabila kita banyakkan bersedekah dan membantu orang, ia akan digandakan kelak.

“Keuntungan tidak besar, tetapi saya mahu pelanggan merasa air tangan kita dan produk yang dihasilkan, kemudian pada waktu lain kelak mereka boleh membeli de­ngan harga pasaran sebenar,” jelasnya.

Dia turut memberitahu, saiz pencuci mulut yang dijual bersesuaian kerana niat orang ramai membeli adalah untuk merasa pelbagai jenis pencuci mulut, bukan untuk menge­nyangkan semata-mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya