KEMAMAN: Pengusaha songkok di Kampung Gong Limau, Chukai, dekat sini tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan ketika Aidilfitri akan disambut tidak lama lagi.
Pemilik Sulaiman Songkok, Spenpri Irzal Chandra, 50, berkata, dia mendapat tempahan lebih 600 biji songkok sejak awal Ramadan.
Katanya, dia juga menjual songkok yang telah siap dijahit untuk pelanggan yang membeli di kedai tanpa membuat tempahan.
“Saya menawarkan songkok pelbagai saiz bermula bayi baru lahir sehingga dewasa dengan pelbagai reka bentuk termasuk songkok tinggi dan songkok yang boleh dilipat dengan kain baldu,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Limau, Chukai, di sini, semalam.
Spenpri Irzal memberitahu, dia menjual songkok bermula RM13 hingga RM185.
Bapa kepada empat anak ini berkata, dia yang mewarisi seni membuat songkok daripada arwah bapanya mula mengusahakan perniagaan itu sejak lima tahun lalu.
“Sebelum ini bapa saya yang berasal dari Indonesia mengusahakan perniagaan di sini lebih 40 tahun. Saya pula sempat belajar membuat songkok daripada arwah bapa sebelum bapa meninggal dunia,” ujarnya
Tambahnya, songkok yang dihasilkan ini sebenarnya mempunyai ciri-ciri reka bentuk Indonesia, namun diolah dan digabungkan dengan reka bentuk Malaysia.
Spenpri Irzal berkata, dia yang dibantu isterinya, Yatti Sukarni Shahruddin@Harun, 45, mampu menyiapkan 10 biji songkok setiap hari.
Menurutnya, dia turut mendapat tempahan pelanggan dari Pahang, Kelantan dan Kuala Lumpur. – UTUSAN