Pengguna alih penghadang jalan alternatif di Gua Musang

Pengguna alih penghadang jalan alternatif di Gua Musang

SIK Choon Foo (kiri) bersama pegawai trafik IPD Gua Musang membuat pemantauan lencongan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Gua Musang, Kelantan semalam. -UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Polis mengesan tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang mengalih penghadang jalan di laluan alternatif jalan Gua Musang-Kuala Lipis berhadapan Hentian Gua Musang di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, tindakan mengalihkan penghadang yang dipasang itu dipercayai kerana individu berkenaan ingin memudahkan pergerakan mereka dan memendekkan perjalanan berbanding jalan alternatif yang lebih jauh. 

“Kami mengharapkan supaya individu tidak bertindak mengalih lencongan yang dibuat oleh pihak berkuasa demi keselamatan pengguna jalan raya lain. 

“Kita tidak perlu mementingkan diri sendiri untuk cepat sampai ke destinasi sehingga sanggup berbuat demikian. Lencongan itu dibuat untuk  keselesaan kita di masa akan datang kerana  memberi laluan kepada pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU),” katanya selepas membuat pemantauan lencongan yang dibuat pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama pegawai trafik di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini semalam.

Choon Foo juga memberitahu, pihak polis membuat pemantauan secara berterusan sejak tiga hari lalu untuk memastikan kelancaran perjalanan pengguna di laluan alternatif.

Katanya, sebanyak lima kes kemalangan direkodkan di laluan alternatif sepanjang tempoh berkenaan.

“Kebanyakan kes adalah kemalangan ringan seperti langgar belakang kenderaan disebabkan jarak yang hampir. Kita berharap pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati, memberi perhatian semasa memandu dan sentiasa bersabar serta jangan ikut perasaan apabila berada di atas jalan raya,” ujarnya.

Sebelum ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengubah laluan alternatif di jalan Gua Musang-Kuala Lipis bermula 15 April sehingga 2 Mei ini bagi melancarkan perjalanan susulan pertambahan kenderaan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Penyuraian trafik dengan menjadikan sebahagian daripada laluan tersebut sebagai satu hala itu bermula dari hadapan Hentian Gua Musang di Tanah Putih, Simpang Hospital dan hadapan IPD Gua Musang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya