Bagi sutradara tersohor, Sabri Yunus, 61, isu pemilihan pelakon adalah hak mutlak pengarah yang mahu mencari pelakon bersesuaian dengan watak yang dijayakan.
Jelasnya, perkara paling penting adalah ‘watak’ dan bukan individu tersebut dalam sesebuah naskhah yang dihasilkan.
“Saya bersetuju sebagai pengarah, dia (Syamsul Yusof) mempunyai hak mencari watak yang diinginkan. Pada saya, ia lebih pada isu kesesuaian watak.
“Boleh jadi watak itu tidak bersesuaian dengan sesetengah pelakon. Maka, pengarah perlukan watak itu dijayakan oleh pelakon lebih muda,” katanya.
Dalam masa sama, Sabri yang sudah lebih 30 tahun bergelar anak seni menangkis tanggapan sekiranya timbul kenyataan mengatakan pelakon tua tidak layak bergelar hero.
Jelasnya, ada cerita yang memerlukan mereka sebagai hero dan tidak semestinya pelakon lama tidak layak menggalas tanggungjawab itu.
“Pelakon tua masih boleh jadi hero kalau sesuai dengan watak tersebut. Lakonan berbekas dan berkesan itu tidak semestinya pada pelakon tua atau muda, ia berbalik pada individu itu sendiri.
“Zamarul Hisham sudah buktikan dengan pengalaman lakonan yang cukup banyak dan kesesuaian watak membuatkan lakonannya berbekas di hati penonton (drama Saat Hilang Cintamu).
“Namun, kalau Zamarul diberikan watak berumur 20-an, pada saya tidak sesuai walau hebat berlakon sekalipun,” katanya.