KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini setelah didapati bersalah membunuh anak saudara perempuannya, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Safuan Ramli, 30, yang juga seorang penganggur didakwa membunuh anak saudaranya, Nurhafiya Aufa Mohd. Taquddin yang ketika kejadian berusia tiga tahun.
Tertuduh didakwa melakukan tindakan kejam itu di sebuah rumah di Felda Cherul 2 di daerah Kemaman, kira-kira pukul 1 petang pada 27 Januari 2020.
Bagi kesalahan tersebut, Mohd. Safuan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
Dalam penghakiman hari ini, mahkamah menolak hujahan pihak pembelaan yang mengatakan tertuduh membunuh tanpa niat selepas terdengar suara halus mengarahkannya berbuat demikian.
Hassan sebaliknya berpendapat tertuduh berada dalam keadaan waras ketika kejadian dan tertuduh mengetahui tindakan tersebut salah di sisi undang-undang.
“Mengikut hujahan pihak pembelaan, suara halus itu menyuruh tertuduh menikam ibu dan abangnya namun tidak mengikuti arahan itu sebaliknya melarikan diri selepas menikam anak saudaranya.
“Kisah ini tidak dibangkitkan oleh pihak pembelaan selain tertuduh juga tidak dipaksa mengambil dadah. Jadi tertuduh gagal membuktikan dia tidak waras ketika melakukan perbuatan itu,” jelasnya.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah dan Muhamad Yasser Mohd. Nasri manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md. Zain. – UTUSAN