Pengampunan Najib, Amanah rayu semua pihak bertenang

Pengampunan Najib, Amanah rayu semua pihak bertenang

SALAHUDDIN Ayub menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada wakil dalam program sumbangan di Kubang Rotan, Kuala Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: Parti Amanah Negara (Amanah) merayu semua pihak termasuk penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertenang serta menerima dengan hati terbuka sebarang keputusan Lembaga Pengampunan.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya berkeyakinan apa juga keputusan dalam persidangan tersebut adalah mengikut lunas perundangan dan Perlembagaan negara.

“Saya rasa kita harus bertenang, semua pihak juga melalui proses ini. Kami juga pernah duduk di bahagian pembangkang dulu, pernah juga mengalami pelbagai hukuman. Kita lalui proses ini. Negara kita ada undang-undang.

“Kita akur kepada setiap apa yang berlaku yang akan diputuskan oleh pihak-pihak tertentu di bawah Perlembagaan dan undang-undang dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas program sumbangan Bakul Rahmah di Kubang Rotan, di sini hari ini.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan petisyen pengampunan bekas Perdana Menteri itu terhadap hukuman penjara dan denda tidak semestinya dibincangkan dalam Lembaga Pengampunan yang dijadual bermesyuarat pada hari ini.

Sementara itu Salahuddin berkata, pihaknya berkeyakinan bahawa setiap parti, individu mahu pun setiap orang yang telah dijatuhkan hukuman masih mempunyai ruang undang-undang di bawah Perlembagaan negara untuk mereka merayu.

“Jadi bagi Amanah jelas bahawa walaupun hari ini berlaku kepada Datuk Seri Najib yang memohon pengampunan bagi saya biarlah undang-undang yang menentukan.

“Itulah hak bagi setiap rakyat negara kita dan kita tunggulah apa keputusan daripada Lembaga Pengampunan yang merupakan hak mutlak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Jadi kita serahkan perkara itu kepada perundangan, dalam kata lain biar perundangan menentukan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, kementeriannya akan memuktamadkan skim Insurans Rahmah dalam masa terdekat bagi membantu golongan B40 dan M40.

Setakat ini pihaknya sudah mengadakan dua pertemuan dengan syarikat insurans terlibat bagi memperincikan skim berkenaan.

Katanya, selain untuk perlindungan hartanah, skim insurans yang dicadangkan itu akan turut meliputi kenderaan terpakai, kerosakan kotak gear atau enjin akibat bencana alam seperti banjir.

“Insurans Rahmah yang akan kita putuskan ini juga merupakan bentuk insurans yang akan kita tawarkan kepada rakyat termasuk kereta terpakai. Pertemuan dengan bank akan diadakan untuk memuktamadkan skim dan pakej perbankan yang akan mereka tawarkan,” katanya.

Mengulas lanjut kata beliau, skim insurans tersebut diharapkan dapat membantu golongan berkenaan melindungi hartanah mereka apabila premiumnya ditawarkan pada harga berpatutan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN