Penentuan nasib Syed Saddiq dalam tempoh terdekat - Utusan Malaysia

Penentuan nasib Syed Saddiq dalam tempoh terdekat

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) akan diumumkan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada tarikh yang ditetapkan kemudian.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan demikian selepas mendengar penghujahan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali serta peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Ahli Parlimen Muar itu pada akhir kes pembelaan.

“Jangan risau, saya tidak akan mengambil masa yang lama (untuk membuat keputusan), tarikh itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat,” kata hakim berkenaan sebelum menangguhan prosiding penghujahan yang bermula kelmarin.

Terdahulu, Wan Shaharuddin berhujah, Syed Saddiq tidak boleh menggunakan wang dalam akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) untuk menggantikan wangnya sendiri yang kononnya telah didahulukan untuk menjayakan kempen politik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Akaun ABBE milik Rafiq Hakim Razali (saksi pendakwaan ke-13 (SP13) itu digunakan untuk dua program meraih dana melalui majlis makan malam di Ampang, Selangor dan Muar yang mana kesemua bayaran untuk majlis itu dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

Pendakwaan menghujahkan, pada 8 April 2018, Syed Saddiq telah menghubungi telefon bimbit SP13 dan mengarahkan beliau memindahkan wang hasil program meraih dana berjumlah RM120,000 daripada akaun ABBE ke dalam akaun peribadinya.

Oleh yang demikian, Wan Shaharuddin berhujah, bukti dan keterangan kes jelas menunjukkan Syed Saddiq secara tidak jujur menyalahgunakan harta tersebut untuk diri sendiri.

Ini kerana katanya, wang berjumlah RM120,000 tersebut tidak digunakan bagi tujuan kempen politik beliau atau mana-mana ahli Armada sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya.

Hujah pendakwaan, sekiranya benar dana kutipan itu untuk kegunaan peribadi tertuduh, sudah tentu akaun bank peribadi akan digunakan untuk tujuan meraih dana.

Selain itu, Wan Shaharuddin menghujahkan, tertuduh tidak pernah memaklumkan kepada sesiapa bahawa wang daripada kedua-dua program meraih dana adalah untuk menggantikan wang yang kononnya didahulukan ketika kempen PRU14.

Katanya, justeru itu, dakwaan tertuduh bahawa beliau telah mendahulukan duit peribadi bagi tujuan kempen PRU-14 harus ditolak kerana pihak pembelaan gagal membawa apa-apa dokumen, catatan atau saksi yang boleh mengiakan perlakuan itu.

Pendakwaan turut menghujahkan, tiada seorang pun saksi pembelaan dapat menceritakan mengenai status wang RM120,000 tersebut setelah ia kekal tidak dibelanjakan bagi kempen PRU14.

Menurut pendakwaan, setakat keterangan yang ada di mahkamah, RM100,000 daripada wang tersebut telah disalurkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) tertuduh.

“Wang tersebut tidak semestinya wang tertuduh. Adakah tertuduh mempunyai hak untuk kononnya menggantikan wang yang telah digunakan sedangkan wang tersebut tidak pernah dibuktikan sebagai wangnya sendiri?

“Justeru itu, pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata, tidak konsisten serta cacamarba manakala beberapa isu penting yang menjadi teras kepada pembelaan adalah berbentuk pemikiran terkemudian (afterthought) dan rekaan semata-mata,” hujah pendakwaan.

Hujah beliau, tertuduh juga tidak menafikan bahawa wang yang dikatakan hasil dari
majlis meraih dana tersebut tidak pernah dibelanjakan sehinggalah wang RM50,000.00 sebanyak dua transaksi berjumlah RM100,000.00 di pindahkan ke ASB masing-masing pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pihak pendakwaan turut menghujahkan, niat jahat tertuduh boleh dilihat melalui tindak-tanduknya yang secara terang-terangan mengarahkan SP13 untuk mengosongkan akaun bank ABBE untuk memasukkan dana bagi kedua-dua acara meraih dana.

Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ABBE dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya