KUALA SELANGOR: Pelbagai inisiatif diambil bagi menyuburkan budaya bergotong-royong sesama jiran tetangga yang dilihat semakin hari semakin hilang akibat kesibukan masing-masing dengan kerjaya.
Untuk itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, Mohd. Khairuddin Othman merencana aktiviti yang julung kali dilakukan iaitu projek Mega Bubur Lambuk 2023 bersama Majlis Pemuafakatan Penduduk (MPP) Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini.
Program yang berlangsung mulai pukul 7 pagi Ahad lepas di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor itu mendapat sambutan menggalakkan apabila dihadiri oleh kira-kira 800 peserta yang menyedia dan memasak 45 periuk bubur lambuk.
Penyertaan melibatkan 45 jawatankuasa penduduk (JKP) sekitar Saujana Utama yang kini dihuni oleh kira-kira 60,000 penduduk sejak ia dibuka pada tahun 2000.
Persiapan awal dilakukan sejak Sabtu iaitu memasang khemah dan juga penyerahan peralatan memasak iaitu tungku, gas memasak, periuk dan bahan-bahan menyediakan bubur lambuk.
Program yang menelan belanja kira-kira RM120,000 itu bukan sahaja memeriahkan lagi suasana Ramadan tetapi juga mengeratkan silaturahim. Ia melalui agihan 17,000 pek bubur lambuk kepada penduduk sekitar Saujana Utama.
Timbalan Pengerusi MPP Saujana Utama, Wan Ismail Hashim berkata, kerja-kerja memasak bermula pukul 8 pagi berakhir sebelum 12 tengah hari dan edaran dilakukan bermula pukul 4 petang.-utusan